suria

Dr Asri: Ada Perkara Lain Lebih Bahaya Daripada Pokemon Go

PETALING JAYA: Ketika ramai pihak sibuk memperkatakan mengenai permainan kontroversi Pokemon Go, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata terdapat banyak perkara bodoh lain yang membawa kepada bahaya namun seolah-olah diabaikan.

Walaupun beliau tidak menggalakkan orang ramai bermain permainan realiti itu kerana ia boleh membawa kepada bahaya, beliau menegaskan bahawa terdapat tabiat yang sama atau lebih berbahaya berbanding Pokemon hingga boleh memusnahkan negara.

"Pokemon yang mungkin membawa kebodohan dan bahaya itu kadang-kala masih boleh dikawal, sementara sebahagian kebodohan dan keberbahayaan yang lain sukar untuk dikawal.

"Saya pelik apabila terlihat seorang yang merokok di tempat awam bercakap tentang bahaya Pokemon untuk diri dan orang lain. Padahal rokoknya itu sejak sekian lama telah memusnahkan diri dan orang ramai.

"Hal yang sama jika seseorang yang menyalahgunakan harta awam sibuk menentang permainan Pokemon, padahal negara sedang musnah disebabkan salah tadbir yang dia terlupa untuk fikirkan," katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Khamis.

Sebelum ini, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri menasihatkan umat Islam untuk menjauhkan diri daripada permainan itu kerana ia membawa lebih banyak mudarat daripada kebaikan.

Walau bagaimanapun, Mufti Kedah, Datuk Syeikh Muhamad Baderudin telah mengambil pendekatan yang lebih tegas dengan mengisytiharkan Pokemon Go haram di negeri itu dan mendesak bahawa permainan ini diharamkan di Malaysia.

Artikel Lain