suria

Pegawai Bomba Tak Sangka Lihat Mayat Bapa, Adik Kembar

KUALA NERUS: Seorang pegawai bomba bantuan di sini tidak menyangka mangsa kemalangan yang cuba dibantunya adalah bapa dan adik kembarnya sendiri.

Azlan Mustapha, 32, juga terkedu apabila melihat kedua-duanya telah menjadi mayat.

Beliau berkata ketika mendapat tahu mengenai kemalangan itu beliau seperti biasa terus ke tempat kejadian bagi membantu mangsa yaang terlibat.

Namun ketika mahu melaporkan status kemalangan serta mangsa kepada pusat gerakan operasi bomba dan penyelamat negeri, baru beliau menyedari nahas itu melibatkan anggota keluarganya sendiri, katanya.

"Saya pada mulanya tidak mengesyaki apa-apa dan menjalankan tugas seperti biasa, tambahan pula keadaan kereta berkenaan sangat teruk dan nombor pendaftaran juga tidak jelas.

"Tetapi saya kemudiannya menjadi sangat terkejut bila melihat kad pengenalan kesemua mangsa yang mereka merupakan ahli keluarga saya termasuk ayah dan adik kembar saya. Saya juga tergamam apabila melihat jenazah mereka," kata Azlan.

Kemalangan tersebut berlaku kira-kira 1 pagi tadi antara sebuah lori dan Proton Saga FLX di Kampung Bukit Nanas dekat sini.

Empat mangsa terkorban dalam nahas itu termasuk dua beranak tersebut iaitu Mustapha Abdullah, 56, dan anaknya Azman, 32.

Dua lagi mangsa yang maut dikenali sebagai Mohd Sabri Ngah, 48, dan pemandu kereta itu, Alif Faizal Ibrahim @Ismail, 26, yang merupakan saudara kepada Mustapha.

Mereka dilapor dalam perjalanan pulang ke Kampung Seberang Takir apabila lori berkenaan masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta yang dipandu Alif Faizal.

Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu  manakala pemandu lori tersebut ditahan bagi siasatan lanjut. - BERNAMA

mayat, bapa, adik kembar, kemalangan

Artikel Lain