suria

Tak Perlu Debat, Semua Dah 'Ditelanjangkan' - Ku Nan

Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor

KUALA LUMPUR: Debat antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak perlu diadakan selepas bekas perdana menteri itu dikatakan telah mendedahkan semua hal dalaman parti kepada umum.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, negara kini berdepan masalah persepsi apabila bekas perdana menteri itu telah bertindak seolah-olah 'menelanjangkan' Umno.

"Tak perlulah berdebat, ini semua masalah persepsi, masalah yang tak ada kesahihan, nak debat apa lagi.

"Dah leraikan, dah telanjangkan kita kepada awam dengan perkara-perkara fitnah, dengan persepsi yang salah jadi nak dialog apa lagi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan jalan sambungan Jalan Jalil Perkasa 7 ke Jalan Barat, Bukit Jalil, di sini, Khamis.

Menteri Wilayah Persekutuan itu mengulas mengenai cabaran debat isu pentadbiran negara oleh Dr Mahathir terhadap perdana menteri yang dibuat menerusi siaran di blognya, Rabu.

Dr Mahathir dipercayai menulis posting tersebut di Institut Jantung Negara (IJN), tempat beliau sedang menerima rawatan kerana mangalami jangkitan di dada.

Dalam pada itu, Tengku Adnan turut mengulas mengenai perkembangan mesyuarat perwakilan Umno peringkat bahagian, termasuk di bahagian yang mempunyai isu-isu berbangkit seperti di Semporna, Pagoh dan Jerlun.

Katanya, secara keseluruhan setiap mesyuarat berjalan lancar dengan beliau sendiri telah memantau mesyuarat di seluruh negara yang dijangka berakhir 15 September ini.

"Begitu juga dengan Semporna, kita telah turun ke sana untuk selesaikan masalah-masalah berbangkit di mana ahli jawatankuasa terus berikrar untuk bersama Umno, jadi tiada masalah.

"Saya juga telah berjumpa dengan pemangku Ketua Umno Bahagian Pagoh, Ismail Mohamed dan kawan saya di bahagian Jerlun, tiada masalah ia berjalan lancar," katanya.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain