suria

Tunggakan Gaji Pekerja Eaglexpress Akan Dibayar Awal Ogos

PETALING JAYA: Syarikat penerbangan carter untuk perkhidmatan umrah dan haji, Eaglexpress Air Charter Sdn Bhd (Eaglexpress) memberi jaminan untuk melunaskan tunggakan gaji kira-kira 300 pekerjanya pada awal Ogos ini.

Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Eaglexpress, Andriaty Abdul Rahman berkata, sebahagian tunggakan itu meliputi baki separuh gaji bagi Mei dan sebulan gaji Jun yang belum dilunaskan.

Katanya, perkara itu antara yang disebut dalam pertemuan wakil syarikat penerbangan itu dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Selangor pada Khamis.

"Kita akan bayar tunggakan gaji pada awal Ogos selepas kita mendapat hasil (revenue), memandangkan operasi dan perniagaan kita baharu bermula semula.

"Kita berharap semua pekerja dapat bersabar menunggu dan memberi sokongan kepada syarikat dengan berkhidmat secara berdedikasi untuk syarikat meneruskan operasi," katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun tiada sebarang tarikh yang ditetapkan untuk pembayaran tunggakan gaji pada awal Ogos.

Pada Khamis, mStar Online melaporkan JTK Selangor memanggil pihak pengurusan Eaglexpress berhubung isu tunggakan gaji dan elaun pekerja syarikat penerbangan itu.

Ia susulan pertemuan Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (Nufam) dan JTK pada Isnin lalu.

Ditanya mengenai gaji bagi Julai termasuk tunggakan elaun, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Andriaty berkata: "Kita akan bayar dahulu tunggakan baki separuh gaji Mei kepada sebahagian pekerja yang belum dapat dan sebulan gaji Jun untuk semua pekerja."

Sementara itu, bercakap kepada mStar Online, Pengarah JTK Selangor, Mohd Asri Abd Wahab berkata, wakil majikan Eaglexpress dalam pertemuan pada Khamis telah memberi penjelasan mengenai masalah kewangan syarikat sehingga menyebabkan gaji dan elaun pekerja tertunggak.

"Dari segi amalan biasa, pihak pengurusan perlu mengadakan perjumpaan dengan pekerja bagi memperjelaskan kedudukan kewangan syarikat dan usaha yang mereka lakukan untuk menangani masalah itu.

"Majikan perlu meminta pekerja bersabar dan mendapatkan persetujuan bersama mengenai tunggakan yang akan dibayar," katanya sambil menambah wakil majikan Eaglexpress ada menyatakan tunggakan gaji akan dibuat pada awal Ogos.

Mohd Asri berkata, mengikut Akta Kerja 1955, gaji pekerja perlu dibayar tidak lewat lebih tujuh hari dari tarikh gaji.

Sehubungan itu katanya, para pekerja boleh membuat tuntutan kes buruh di JTK berhubung tunggakan gaji dan elaun yang gagal dilunaskan majikan.

Pada 23 Jun lalu, mStar Online melaporkan memo dikeluarkan pihak pengurusan Eaglexpress yang memaklumkan dua bulan gaji tertunggak iaitu April dan Mei akan dibayar pada 27 Jun, tetapi gagal dibuat disebabkan masalah teknikal.

Pada 5 Julai pula portal berita ini melaporkan Eaglexpress telah melunaskan sebulan setengah gaji meliputi sebulan gaji bagi April dan setengah bulan gaji Mei kepada sebahagian pekerja syarikat penerbangan itu, manakala sebahagian lagi yang juga kru kabin menerima gaji dua bulan.

Difahamkan, sehingga kini gaji bagi Jun dan elaun-elaun lain serta caruman KWSP dan Perkeso bagi pekerja Eaglexpress sekurang-kurangnya sejak awal tahun masih tertunggak.

Terdahulu, Nufam mendesak Eaglexpress supaya menyelesaikan kesemua tuntutan atau menghentikan operasi sehingga isu berkenaan diselesaikan.

Eaglexpress

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain