suria

MH370: Baki Pencarian 10,000KM Persegi Diteruskan

KUALA LUMPUR: Malaysia bersama negara yang terlibat akan terus mencuba cara terbaik bagi memenuhi baki 10,000 kilometer persegi kawasan pencarian pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014. 

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari yang juga Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi Misi Pencarian MH370 berkata setakat ini semua pihak yang terlibat masih lagi berharap pesawat itu akan dijumpai dalam kawasan pencarian yang meliputi 120,000km persegi di selatan Lautan Hindi.

"Sekarang kita terpaksa hentikan sementara memandangkan (keadaan) cuaca dan kita akan mulakan lagi proses pencarian mungkin pada Oktober ini sehingga Disember.

Sementara kita tangguhkan ini, proses kerjasama masih berterusan antara kerajaan Malaysia, Australia dan China. 

"Jadi kita sama-sama berdoa semoga dalam tempoh berbaki ini kita akan menjumpai (pesawat MH370) kerana kita harus yakin. 

"Dalam perbincangan tadi, semua negara memberi komitmen mencuba cara yang terbaik supaya dapat memenuhi 120,000km persegi kerana kita tahu masyarakat terutama waris penumpang menaruh harapan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Jumaat.

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan bersempena Mesyuarat Tiga Pihak Peringkat Menteri mengenai MH370 di sini hari ini, gerakan mencari pesawat itu akan digantung apabila pencarian selesai dilakukan di kawasan seluas 120,000km persegi.

Mesyuarat yang disertai menteri pengangkutan dari Malaysia, China dan Australia itu juga memutuskan pencarian tidak akan dihentikan.

Sebaliknya ia digantung dahulu setelah usaha mencari selesai dilakukan dikawasan seluas 120,000km persegi, sekiranya tidak terdapat bukti baharu yang berwibawa bagi mengenal pasti lokasi khusus terletaknya pesawat itu.

Dalam pada itu, Jailani berkata pasukan penyiasat bersama pakar akan tetap meneruskan siasatan terhadap objek yang ditemui di beberapa lokasi termasuk yang terbaharu di Pulau Kangaroo, selatan Australia dan Madagascar, Afrika baru-baru ini sehingga ia dapat disahkan milik MH370. 

Penerbangan MH370, yang membawa 239 penumpang dan anak kapal, hilang daripada pengesanan radar setelah berlepas dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing pada 8 Mac 2014.

Berikutan itu, operasi besar-besaran dilakukan di selatan Lautan Hindi,kawasan pesawat berkenaan dipercayai mengakhiri penerbangannya setelah melencong daripada laluan asalnya. -Bernama

MH370, Datuk Jailani Johari

Artikel Lain