suria

Pembangkang Sentiasa Guna Isu Semasa - Hishammuddin

Hishammuddin TUn Hussein (kanan) menerima replika cek daripada Pengerusi Boustead Holdings Berhad dan Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin (kiri) untuk diserahkan kepada Pengerusi LTAT, Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor (tengah) ketika Majlis Ramah Mesra Aidilfitri LTAT bersama menteri pada Jumaat. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR: Pembangkang sentiasa menggunakan isu semasa sebagai helah untuk dipolitikkan bagi mencapai matlamat utama mereka, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata mereka secara jelas menuding jari dan menyalahkan PerdanaMenteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Apa jua isu semasa, mereka (pembangkang) akan ambil kesempatan untuk dipolitikkan termasuk 1MDB. Rakyat boleh lihat sendiri tujuan dan matlamat mereka," katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra LTAT di sini, Jumaat.  

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan pembangkang yang mahu membawa isu 1MDB ke Parlimen bagi mendesak Najib meletakkan jawatan.    

Menurutnya isu berkaitan 1MDB adalah serius dan perlu ditangani tanpa menyebabkan orang tidak bersalah menjadi mangsa.

Hishammuddin berpendapat isu 1MDB perlu ditangani mengikut tiga perkara utama iaitu akauntabiliti, rasionalisasi dan ketelusan.   

"Dalam mencari kebenaran, kita perlu rasional dan tidak bertindak mengikut emosi," katanya.    

Mengulas tindakan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat memfailkan saman sivil bagi mendapatkan kembali aset yang diperoleh melalui dana 1MDB yang didakwa diselewengkan, beliau berkata ia merupakan undang-undang antarabangsa dan tidak boleh dihalang.    

"Jangan mempolemiknya dan biarlah proses (siasatan) itu berjalan...harapnya kita dapat penyelesaian 1MDB yang adil kepada semua pihak,"katanya.  

1mdb, Hishammuddin Tun Hussein

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain