suria

Lempar Kata Kesat, Jurutera Warga Britain Didenda RM100

KUALA LUMPUR: Seorang jurutera warganegara Britain didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret di sini Jumaat selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melemparkan kata-kata kesat terhadap anggota polis, minggu lepas.

Majistret Siti Radziah Kamarudin turut memerintahkan tertuduh, Morgan Aled, 50, dipenjara 14 hari sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Morgan didakwa melemparkan perkataan kesat dan kurang sopan yang mengaibkan dan menghina terhadap seorang anggota polis di hadapan pejabat tunda Balai Polis Trafik, Jalan Tun H. S. Lee, pada 12.30 tengah malam, 17 Julai lepas.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil yang boleh didenda maksimum RM100.

Mengikut fakta kes, Morgan didakwa melemparkan kata-kata kesat dalam bahasa Inggeris kerana mempertikaikan tindakan anggota polis yang menahan kereta yang dipandu oleh isterinya pada hari kejadian.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa memohon mahkamah menjatuhi hukuman setimpal manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon maaf atas perbuatannya. - BERNAMA

jurutera, Britain, kata kesat

Artikel Sebelum

Carian MH370 Digantung

Artikel Berikut

Artikel Lain