suria

Promosi Kopi Guna Kenderaan Tentera Tinggalkan 'Kesan Pahit'

PETALING JAYA: Percubaan sebuah syarikat yang mengiklankan kopinya menggunakan kenderaan tentera telah meninggalkan rasa 'pahit' bagi sesetengah pihak.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Zawara Coffee Sdn Bhd Kamarul Ariff meminta maaf jika reka bentuk kenderaan tentera Pinzgauer 6x6 718M itu telah mencetuskan panik atau membuatkan orang ramai tersinggung.

Beliau berkata syarikat itu telah menjual kopi menggunakan bekas kenderaan tentera itu yang dibeli melalui proses tender, sejak dua bulan lalu.

Kamarul menjelaskan bahawa corak dan cat pada kenderaan itu tidak menyamai celoreng tentera sebenar, tetapi memaparkan makanan yang dijual syarikat itu, termasuk churros, burger dan hotdog.

Beliau berkata dua replika pelancar roket dipasang pada kenderaan itu sepatutnya membawa maksud 'penangan' atau pukulan hebat kopi yang ditawarkan.

"Dengan meminta mereka merasai penangan secangkir kopi, kami menggalakkan pelanggan untuk mencuba secangkir kopi Espresso.

"Kami adalah sebuah restoran keluarga. Anak-anak berasa terhibur dengan reka bentuk trak. Malah sesetengah pelanggan mengambil gambar dengannya.

"Kami berada di Cyberjaya untuk mempromosikan kopi dan makanan kami kepada pelajar-pelajar di universiti berhampiran," katanya.

Kamarul berkata kenderaan itu telah bergerak ke outlet Zawara di sekitar Lembah Klang sejak dua bulan lalu dan telah dipamerkan di sebuah pusat beli-belah di Mutiara Damansara.

Tambahnya, sebelum ini tiada siapa yang pernah menjadikannya sebagai isu sehinggalah apa yang berlaku baru-baru ini.

Polis menahan dua lelaki dan merampas kenderaan itu di Persiaran Semarak Api, Cyberjaya, selepas menerima laporan daripada orang awam kira-kira pukul 11.30 pagi Rabu.

"Dalam mempertahankan diri kami, logo Zawara jelas dapat dilihat," kata Kamarul.

"Tetapi kita mungkin telah terlepas pandang beberapa isu semasa seperti cubaan rampasan kuasa di Turki yang mungkin telah menyebabkan orang ramai panik apabila mereka melihat trak kami.

"Kami akan mengecat semula trak dan menggantikan pelancar roket dengan cawan kopi apabila kita mendapatkannya semula," katanya kepada The Star, Rabu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata syarikat itu tidak berniat jahat dengan mengendalikan kenderaan berkenaan.

"Mereka hanya menjual kopi. Mereka tidak memberi sebarang ancaman kepada orang ramai dan tidak mempunyai niat untuk mencederakan sesiapa.

"Kedua-dua pekerja yang mengendalikan kenderaan itu telah dibebaskan selepas keterangan mereka diambil," katanya.

Artikel Lain