Saringan Imunisasi Di Semua Sekolah Bermula Sebulan Lagi - Dr Subramaniam - Semasa | mStar

Saringan Imunisasi Di Semua Sekolah Bermula Sebulan Lagi - Dr Subramaniam

Datuk Seri Dr S. Subramaniam
PUTRAJAYA: Saringan imunisasi bagi mengenal pasti murid yang tercicir daripada mendapat imunisasi lengkap akan dijalankan di semua sekolah rendah dalam tempoh sebulan lagi, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata saringan itu akan dijalankan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dengan murid tahun empat dan lima sedia ada akan menjadi kumpulan pertama.

"Ketika ini dianggarkan terdapat 500,000 murid pada setiap peringkat darjah, murid tahun enam kita tak boleh ganggu kerana mereka akan menghadapi peperiksaan tidak lama lagi. Jadi kita bermula dengan murid darjah lima dan empat dahulu.

"Untuk tiga tahun seterusnya saringan dijalankan terhadap murid darjah empat dan selepas itu kita fokus pada murid tahun satu. Oleh itu, kita dapat pastikan kumpulan murid sekolah rendah sedia ada mendapat imunisasi penuh dan lengkap yang ditetapkan oleh kementerian," katanya pada sidang media, di sini Rabu.

Katanya ketika ini kementeriannya sedang berbincang dengan Kementerian Pendidikan bagi menyediakan segala keperluan untuk menjalankan proses saringan itu.

Dr Subramaniam berkata di peringkat sekolah menengah, buat sementara waktu, Kementerian Pendidikan diminta untuk membuat semakan rekod imunisasi terhadap pelajar tingkatan satu.

"Ketika ini pelajar perempuan diberikan vaksin Human Papilloma Virus (HPV) di peringkat tingkatan satu jadi peluang itu akan digunakan untuk melihat rekod mereka dan semakan juga akan dijalankan terhadap rekod pelajar lelaki.

"Saringan peringkat sekolah adalah yang paling proaktif kerana sukar untuk menjalankan program ini terhadap masyarakat umum," katanya.

Menurutnya melalui saringan itu, ibu bapa akan diminta mengemukakan rekod imunisasi murid dan mereka yang didapati tidak mendapat vaksin lengkap akan dinasihatkan untuk mengambil vaksin sama ada di sekolah atau di hospital.

Ditanya jika terdapat ibu bapa yang tidak membenarkan anak mereka mendapat vaksin walaupun telah dinasihatkan untuk berbuat demikian, beliau berkata kumpulan yang lebih dikenali sebagai "anti-vaksin" itu akan diberikan kaunseling.

"Kira-kira 1,500 ibu bapa yang menolak vaksin itu kita perlu uruskan dengan cara yang lain iaitu melalui kaunseling dari segi saintifik dan keagamaan.

"Manakala saringan ini kita mahu kenal pasti golongan yang tercicir daripada mendapat vaksin mungkin kerana masalah seperti terlepas pandang, kerap berpindah atau ibu bapa tidak mengambil berat keperluan vaksin," kata Dr Subramaniam.

Mengulas mengenai wanita berusia 41 tahun yang dijangkiti penyakit difteria baru-baru ini, beliau berkata buat masa ini kementerian belum bercadang untuk mewajibkan pengambilan vaksin difteria terhadap golongan berisiko iaitu pesakit kencing manis, kanser dan hepatitis B.

"Kita tiada polisi sebegitu. Kami masih percaya 95 peratus rakyat Malaysia dilindungi melalui program imunisasi kementerian.

"Jika terdapat kes sakit kerongkong dalam kalangan orang dewasa, doktor akan melihat sama ada pesakit terbabit mempunyai simptom difteria dan pesakit itu akan dirujuk kepada pusat perubatan untuk mendapatkan rawatan. Ini kaedah yang lebih berkesan bagi menangani penyakit ini di peringkat dewasa," katanya.

Pada Ahad lepas, seorang suri rumah dari Rembau, Negeri Sembilan, disahkan positif penyakit difteria, menjadikan ia kes pertama melibatkan orang dewasa di negara ini tahun ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Air Selangor kini pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air… pengguna bakal terima bil baharu!

MENDAPATKAN bekalan air bersih yang berterusan sudah menjadi satu kemestian dalam kehidupan masyarakat hari ini.

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

default image

Penggunaan air di Malaysia lebih tinggi daripada negara jiran? Jom kita jimat air!

ADAKAH penggunaan air kita setiap hari ke arah penjimatan atau pembaziran?

default image

Pelan Pembangunan KL... inilah harapan warga kota

INFRASTRUKTUR dan pengurusan bandar yang lebih baik merupakan perkara teratas dalam senarai Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL) yang ingini penduduk Kuala Lumpur.

default image

Jom kongsi idea! Penduduk bandar diajak beri maklum balas draf Pelan Pembangunan KL

TRAJEKTORI perumahan dan komersial Kuala Lumpur diberikan perhatian dengan mendraf Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 (PPKL 2040).

Artikel Lain