suria

Tiada Keperluan Buat Pilihan Raya Mengejut Di P.Pinang - Nazri

Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz
KUALA LUMPUR: Tidak ada keperluan untuk pilihan raya mengejut diadakan di Pulau Pinang, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Ini berikutan spekulasi meluas bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berminat untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan mengadakan pemilihan baru.

"Tidak ada sebab kukuh untuk mengadakan pilihan raya mengejut," kata Nazri sambil menambah ia akan menjadi satu pembaziran.

"Pilihan raya mengejut akan melibatkan banyak bajet dan tidak perlulah membazirkan wang untuk itu.

"Saya nasihatkan beliau supaya simpati kepada rakyat. Pilihan raya itu bukan pilihan yang bijak," kata Nazri.

Beliau juga mengulangi bahawa sekiranya pilihan raya diadakan, Umno sudah bersedia untuk bertanding.

"Kita sentiasa bersedia pada bila-bila masa jika pilihan raya diadakan. Ia bukan sesuatu yang pelik untuk kita. Malah, undi DAP boleh dikurangkan," katanya kepada pemberita selepas majlis rumah terbuka Kementerian Pelancongan di sini, Rabu.

"Marilah kita beri tumpuan kepada meningkatkan ekonomi Pulau Pinang," katanya.

Artikel Lain