suria

Konsep 'Pekan Hipster' Tonjol Nama Ipoh Di Persada Antarabangsa

Foto kenwooi.com

IPOH: Pendekatan kerajaan negeri Perak menjadikan bandaraya Ipoh sebagai 'pekan Hipster' membuahkan hasil apabila ia diiktiraf sebagai satu daripada 10 destinasi menarik di rantau Asia untuk dikunjungi tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pendekatan sedemikian yang antara lain menghidupkan semula bangunan-bangunan lama untuk dijadikan kafetaria tidak dinafikan mempunyai peminat tersendiri. 

"Kawasan atau tempat yang dianggap mempunyai nilai sejarah kita hidupkan kembali, ada identiti sendiri dapat menarik orang ramai.

"Selain itu, penekanan kepada nilai kesenian dan warisan dapat menarik pelancong datang ke Ipoh," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini, Rabu.

Beliau mengulas laporan 'Lonely Planet' sebuah portal pengembaraan terbesar di dunia yang meletakkan Ipoh di tempat keenam sebagai destinasi menarik di Asia untuk dikunjungi tahun ini selepas Hokkaido, Jepun; Shanghai, China; Jeonju, Korea Selatan; Pulau Con Dao, Vietnam dan Hong Kong, China.

Menurut laman web itu, makanan yang kurang dikenali mula mempunyai pemintaan setelah kafe butik diwujudkan di bandar raya bersejarah ini.

Laporan itu juga menyebut bahawa tempat dan perkara yang wajib dilakukan pelancong ketika melawat ialah pengembaraan bebas, seperti memerhati burung dengan berbasikal melalui Kinta Nature Park atau berakit dekat dengan Gopeng.

Menjelas lanjut, Zambry berkata kerajaan negeri mempunyai dasar tersendiri dalam membangunkan industri pelancongan termasuk mengekalkan tempat-tempat penting dan utama untuk dilawati oleh pelancong dalam serta luar negara.

"Kerajaan negeri akan memastikan kawasan yang boleh kita bangunkan sebagai taman-taman negeri akan dijayakan, malah saya telah mengarahkan supaya satu lagi taman di bangunkan di Meru," katanya.

Zambry turut menarik perhatian apabila berkata seramai 7.96 juta pelancong domestik mengunjungi Perak tahun lalu berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan 2015, iaitu yang tertinggi di Malaysia.

Perak juga muncul sebagai negeri paling banyak menerima kedatangan pelancong domestik iaitu sebanyak 6.02 juta pengunjung. - Bernama

Ipoh

Artikel Lain