suria

DAP Buat Laporan Polis Berhubung Protes 'Duit Raya'

KUALA LUMPUR: DAP membuat laporan polis berhubung sekumpulan Pemuda Umno-Gerakan Merah yang membuat bantahan di hadapan ibu pejabat parti itu pada Selasa.

Ketua jabatan pentadbiran ibu pejabat DAP, Chu Yoon Ming berkata, beliau membuat laporan itu kerana berasa terancam dengan kehadiran anggota Pemuda Umno yang melaungkan slogan perkauman dan melemparkan 'duit neraka' kepada beliau.

Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke mendakwa tindakan melemparkan 'duit neraka' merupakan satu bentuk ugutan jenayah.

"Laporan dibuat kerana tindakan mereka mengancam keselamatan pemimpin-pemimpin dan kakitangan di ibu pejabat DAP," katanya kepada pemberita di luar ibu pejabat polis Wangsa Maju di sini, Rabu.

Bendahari Pemuda DAP Selangor, Muhammad Shakir Ameer mempersoalkan pendirian Ketua Pemuda Umno berhubung protes berkenaan.

"Khairy sentiasa memberi gambaran mengenai dirinya sebagai progresif, tetapi apabila melihat kepada video tersebut, anggotanya tidak menunjukkan sikap sedemikian. Jadi, apa komen beliau berhubung perkara ini? katanya.

Pada Selasa, kumpulan Pemuda Umno yang kebanyakannya memakai baju berwarna merah mengadakan demonstrasi di hadapan Ibu Pejabat DAP Kebangsaan di Kuala Lumpur bagi menyatakan bantahan terhadap wakil rakyat DAP, Nga Kor Ming yang didakwa tidak menghormati Islam.

Minggu lalu, Nga memuat naik dua status bergambar yang menyamakan sedekah duit raya sebagai rasuah dan 'dedak' selain mengucapkan Selamat Hari Raya berlatar belakangkan bendera Amerika Syarikat dengan tangan berdoa berimejkan rumah api yang merupakan simbol agama Kristian.

Bagaimanapun Nga menafikan memuat naik posting berkenaan dan mendakwa menjadi mangsa fitnah politik.




duit raya, Nga Kor Ming

Artikel Sebelum

Artikel Lain