suria

Polis Nafi Khabar Angin Keganasan Kaum

KUALA LUMPUR: Polis menafikan khabar angin yang mendakwa keganasan kaum bakal berlaku, seperti yang tersebar di media sosial baru-baru ini.

Ketua Komunikasi Korporat Urus Setia Ketua Polis Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datin Asmawati Ahmad berkata, mesej yang berbaur hasutan itu menggesa orang bukan Melayu supaya berhati-hati dengan keganasan terhadap mereka semasa perarakan 16 September.

"Mesej tersebut turut mendakwa keganasan kaum dirancang sedemikian bagi pengisytiharan darurat demi memenuhi agenda politik," kata Asmawati dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambahnya, mesej dakwaan itu turut menggesa kaum Cina dan India berada di rumah pada 16 September dan menyimpan bekalan makanan serta keperluan lain di waktu kecemasan semasa berlakunya keganasan kaum.

Asmawati berkata, polis ingin menegaskan bahawa mesej tersebut adalah dakwaan semata-mata yang tidak berasas, dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menggugat keharmonian antara kaum serta ketenteraman awam.

"Penyebaran maklumat tidak berasas dan tidak sahih seperti itu boleh membawa kepada rasa tidak percaya, perpecahan dan ketidakharmonian di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini," katanya.

Beliau turut memberi amaran bahawa tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Orang ramai juga dinasihatkan untuk menghubungi pihak berkuasa yang berkaitan apabila mereka meragui mesej yang diedarkan," katanya.

Asmawati Ahmad

Artikel Lain