suria

Ideologi Militan: Kaji Pengeluaran Visa Semasa Ketibaan

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengkaji pengeluaran visa semasa ketibaan kepada rakyat asing bagi mengelak penyebaran ideologi kumpulan militan seperti Daesh di negara ini.

Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata berikutan ancaman keganasan yang semakin serius, kerajaan tidak boleh sewenangnya membenarkan individu memasuki negara tanpa memeriksa latar belakang mereka.

Katanya, ini perlu supaya status sebagai pelajar dan pelancong tidak digunakan untuk mengaburi pihak berkuasa bagi menyebarkan ideologi yang boleh menggugat keamanan negara.

"Kita sebuah negara terbuka, banyak terima pelancong atau rakyat asing, apabila mereka masuk kita kena tahu latar belakang.

"Tapi kalau dah masuk negara kita kemudian bagi visa... kita tak tahu siapa mereka, boleh jadi satu masalah kepada keselamatan," katanya kepada Bernama di sini, Jumaat.

Beliau diminta mengulas mengenai ancaman kumpulan pengganas di negara ini.

Sementara itu, Musa yang juga Pengerusi Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia berkata beliau yakin Polis Diraja Malaysia melalui risikan yang baik dapat membantu menangani ancaman ini.

"PDRM ada pengalaman yang luas... mereka ada kemampuan untuk bendung ancaman ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata langkah untuk mendapatkan kerjasama bekas militan tempatan yang diumumkan kerajaan untuk memberi kesedaran mengenai ancaman keganasan merupakan satu tindakan yang baik.

"Ini usaha yang baik...elok jika orang-orang yang pernah terlibat dengan perkara ini (keganasan) memberi penerangan bagi memberi kesedaran terhadap mereka yang baru ingin mendekati perkara ini," katanya.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Rabu lalu berkata kerajaan akan mendapatkan kerjasama bekas militan tempatan yang telah berjaya dideradikalisasi untuk membantu meningkatkan kesedaran umum mengenai ancaman keganasan.

Katanya, selain memunculkan mereka di media massa, mereka juga akan dibawa ke institusi pengajian tinggi untuk tujuan tersebut. 

Daesh

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain