suria

Sistem Pantau Kegiatan Militan Di Kalangan Pelajar Asing Akan Dilaksana

BESUT: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi melaksanakan satu sistem yang mengenakan peraturan kepada para pelajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) terutamanya pelajar asing bagi memantau kegiatan militan di kalangan mereka.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata mekanisme itu perlu dilakukan bagi memastikan anasir kegiatan militan tidak menular di kalangan para pelajar yang menuntut di IPT di negara ini.

Dengan langkah itu juga, katanya, KPT dapat memberi tumpuan kepada setiap pelajar IPT terutamanya terhadap pelajar dari luar negara yang datang belajar di negara ini secara lebih teratur.

"Satu perjumpaan antara KPT dengan KDN akan diadakan bagi mendapatkan garis panduan sebelum sebarang sistem atau peraturan dibuat bersesuaian dan tidak pula akan menyusahkan sesiapa.

"Perjumpaan itu akan diadakan dalam bulan ini juga yang akan membabitkan pihak tertinggi dalam IPT dengan KDN," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari Raya Parlimen Besut yang diadakan di Dewan Majlis Daerah Besut di sini pada Jumaat.

Majlis tersebut dihadiri kira-kira 8,000 orang daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk wakil rakyat, pensyarah, pelajar IPT dan penduduk tempatan.

Idris diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Isnin lalu yang mengesahkan dua daripada penyerang krisis tebusan sebuah restoran di Dhaka, Bangladesh, Sabtu lepas, pernah belajar di Universiti Monash di Sunway.

Namun Khalid berkata polis tidak dapat mengesahkan jika mereka adalah penyerang ataupun mangsa.

Mengulas lanjut Idris menganggap masalah kegiatan militan amat serius dan perlu dibendung segera agar tidak menular di kalangan warga IPT.

Katanya sebelum ini pemantauan memang telah dibuat, tetapi diharapkan melalui sistem yang bakal dilaksanakan itu, pemantauan terhadap kegiatan militan itu di kalangan para penuntut IPT dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain