suria

"Jangan Hina Saya Keluar Umno" - Shafie Apdal

SEPANG: Bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal meminta pemimpin parti itu supaya tidak menghina beliau susulan keputusannya untuk keluar daripada Umno yang didakwa tidak menjejaskan parti tersebut.

"Ada yang menyatakan tidak ada kesannya saya keluar dari parti, kita tunggulah ada kesan atau tidak, kita tunggu Allah SWT. Tapi saya dulu antara pengasas Umno di Sabah, sumbangan itu adalah sedikit dalam membesarkan dan mengukuhkan parti di negeri ini.

"Dan saya tahu saya pun ada penyokong bukan tidak ada  tapi jangan hina saya. Saya datang dari Sabah nak memperjuangkan (hak rakyat) dan membantu negara kita," katanya kepada pemberita di balai pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, petang Jumaat.

Ketika ditanya sama ada terdapat ramai lagi ahli Umno Sabah yang akan meninggalkan parti itu, Mohd Shafie tidak menolak kemungkinan perkara itu akan berlaku kerana memahami citarasa masyarakat luar bandar.

"Kita tunggu sahaja macam mana keadaan itu. Saya tahu suara di peringkat akar umbi kerana sudah lapan tahun jadi menteri luar bandar.

"Saya hantar 40 Orang Asli ke London, Amerika Syarikat buat Master Degree. Jadi saya sedar apa citarasa dan apa yang terpendam dalam hati mereka, " katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Semporna itu turut mempertikaikan tindakan Majlis Tertinggi (MT) Umno yang menggantungnya daripada jawatan naib presiden tanpa mendapatkan sebarang penjelasan daripadanya secara bersemuka.

"Siasatlah dulu, kenapa takut sangat nak siasat saya secara berdepan. Tanya saya apa salah saya tapi mereka tak tanya saya semasa hadir MT.

"Tapi apabila saya pergi umrah mereka gantung keahlian saya. Tak apalah mungkin ini petunjuk Allah apabila saya berdoa di Masjid Nabawi," katanya.

Diminta mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bahawa Umno Bahagian Semporna boleh menubuhkan jawatankuasa baharu berikutan peletakan jawatan beberapa pemimpin utamanya, Mohd Shafie berkata segalanya terpulang kepada Umno.

"Itu terserahlah, Umno boleh buat apa suka dia. Lakukanlah sekurang-kurangnya itu yang saya nyatakan diperingkat awal," katanya.

Pada masa sama, Mohd Shafie turut mengulangi pendirian tidak akan menyertai parti pembangkang atau menubuhkan parti baharu buat masa ini.

"Buat masa ini tidak akan sertai mana-mana parti" katanya.

Baru-baru ini, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat Sabah, Datuk Seri Lajim Ukin mempelawa Mohd Shafie untuk menyertai parti itu.

Umno

Artikel Lain