suria

Rebah Di Terminal Haji

ASSALAMUALAIKUM. Selamat Hari Raya dan maaf zahir batin kepada semua pembaca. Tentu sekali ketika ini, ramai yang sedang berkunjung ke rumah saudara mara dan rakan taulan untuk memeriahkan lagi lebaran.

Keletihan saya sekembali dari Tanah Suci masih terasa tatkala sedang menulis artikel ini pada Selasa tengah hari, usai menunaikan solat Zuhur. Kesihatan kurang memuaskan kerana saya batuk dan suara menjadi serak.

Kemanisan beribadat di Tanah Suci Makkah dan Madinah masih segar dalam ingatan. Saya tiba di tanah air pada Isnin, 4 Julai, jam 5 petang menerusi pesawat Saudi Airlines. Terasa begitu pantas masa berlalu di Tanah Suci.

Tidak puas tempoh 12 hari 10 malam untuk mengecap kemanisan beribadat namun saya bersyukur kerana Allah mengundang saya sebagai tetamu-Nya pada 10 malam terakhir Ramadan.

Di ruangan ini saya mahu berkongsi pengalaman yang dilalui di Jeddah dan sudah tentu tidak mampu saya lupakan sampai bila-bila. Saya sangat bersyukur kerana Allah permudahkan segala urusan ibadat saya sepanjang di Tanah Suci dan mengurniakan kesihatan yang baik, sekali gus melancarkan setiap urusan ibadat.

Alhamdulillah, saya sihat dan mampu melaksanakan setiap yang saya mahu dan rancang sebelum melangkah ke Tanah Suci. Allah makbulkan setiap permintaan saya, sekali gus menjadikan saya benar-benar bersyukur dengan setiap pemberian dan kurniaan-Nya.

Tiba hari berangkat pulang pada 3 Julai, saya mula terasa tidak sedap badan. Malah, ketika menunggu qiamulail pada malam terakhir di Makkah, kepala saya mula terasa berdenyut-denyut. Saya sendirian ketika itu di kawasan solat King Fahd.

Pada malam terakhir itu juga saya baru selesai menyempurnakan badal umrah untuk arwah bapa saya. Sejurus tahalul, saya bersolat terawih dan sementara menunggu qiamulail saya mengaji tetapi kepala mula terasa sakit.

Saya mengeluarkan minyak angin di dalam beg. Melihatkan saya menyapu ke dahi, seorang wanita Arab dari Dammam menyapa saya dan mahu memberi ubat. Saya katakan tidak perlu. Dia menyuruh saya minum banyak air. Saya sekadar mengangguk.

Dia kemudiannya memegang kepala saya dan membaca ayat-ayat suci di kepala saya dan saya sekadar menurut setiap perlakuannya dan mengucapkan terima kasih kepadanya yang begitu prihatin terhadap kesihatan saya.

Saya tidak mampu solat berdiri dan hanya duduk ketika qiamualail kerana bimbang keadaan yang kurang menentu itu. Selesai qiamulail, saya keluar dari masjid dan menuju ke restoran di paras dua Hotel Hilton. Saya membeli nasi beriani udang dan menikmatinya sendirian dan duduk berhampiran sekumpulan wanita yang mungkin dari Nigeria atau Sudan.

Saya tidak mampu menghabiskan nasi dan udang kerana terlalu banyak dan sesuai dimakan oleh dua orang, lantas memberinya kepada wanita berkenaan yang bersedia menerimanya.

Selesai bersahur, saya teruskan dengan solat Subuh. Setelah itu, saya singgah berbelanja di Safwa Royale Orchid untuk membeli rotab yang dipesan suami dan ole-ole untuk dibawa pulang. Selepas itu saya berjalan pulang ke hotel penginapan.

Tiba di hotel, saya berkemas dan memasukkan semua barang di dalam dua bagasi. Setelah itu saya tidur seketika sebelum bersiap untuk menunaikan solat Zuhur berjemaah di Masjidil Haram, tawaf wada dan berangkat pulang.

Alhamdulillah, segala-galanya dapat saya sempurnakan. Hampir jam 3 petang kami meninggalkan kota Makkah. Biarpun jadual penerbangan pulang masih lama tetapi untuk memastikan tidak tersangkut dalam kesesakan lalu lintas, kami perlu keluar sebelum Asar.

Kami tiba di terminal haji pada jam 5 petang waktu tempatan. Setelah bagasi dikeluarkan dan ditolak ke kawasan ruang rehat terminal, saya memasuki kedai cenderahati untuk mencari haruman untuk anak lelaki.

Ketika itu, saya terasa tidak sedap di bahagian dada. Terasa angin berkumpul di situ kerana tidak boleh sendawa. Saya mengurut dada dan mengucapkan Allah Allah Allah. Sejurus itu saya terus keluar dari kedai berkenaan dan berjalan ke ruang duduk semua rakan-rakan jemaah lain. 

Saya menghampiri Haji Ridzwan yang sedang menempelkan pelekat di kotak air zamzam. Hasrat saya untuk membantu tetapi saya gagal untuk menarik pelekat itu. Saya hilang fokus seketika dan terus mencari tempat duduk.

Tidak lama selepas itu, Haji Ridzwan menghampiri saya dan bertanya?

“Hajah nak buat berita lagi ke? tanya beliau.

“Tidak, saya tak larat,” jawab saya ringkas.

Badan saya terasa lain dan kepala saya berat. Mata mula berpinar dan seperti hendak pitam.

“Makcik ada air tak?” tanya saya pada makcik Kamariah yang duduk di kerusi panjang bersebelahan.

“Tak ada. Tisu basah adalah,” balas beliau.

“Air…air…” pinta saya.

Saya mahukan air untuk diletakkan di muka saya dan bukanlah untuk minum.

Dalam sekelip mata, saya terus terbaring di atas kerusi panjang dan menolak buah-buahan yang ada di tepi saya.

Sebelum terbaring, saya nampak wajah ketua saya, Hajah Naaimah Abdullah yang mengeluarkan kata-kata: “Dia kurang tidur dan makan tak menentu…”

Sejurus itu juga, kak Hasnah, adik kepada Hajah Naaimah, menghampiri saya menyiram air ke muka dan rambut saya.

Jemaah wanita lain turut membantu. Saya sendiri tidak sedar selepas itu. Kak Hasnah membasahkan rambut saya. Habis tudung dan pakaian saya.

“Panas kepala dia…” itu kata-kata yang saya dengar.

Kak Hasnah meminta saya menutup mata dan tidur. Dia mengurut saya dan mengatakan saya penat dan kurang tidur.

Saya terjaga semula kira-kira 15 minit sebelum waktu berbuka puasa. Alhamdulillah.

Sejurus terjaga, saya bertanya kepada kak Hasnah, yang juga teman sebilik saya di Tanah Suci Madinah dan Makkah.

“Akak baca apa pada air tadi sebelum siram pada Ana?” tanya saya

“Baca saja mana-mana ayat yang terlintas dalam fikiran. Baca ayat Kursi dan al-Ikhlas,” ujar beliau.

Saya tidak terus bangun dari kerusi panjang itu biarpun sudah terjaga. Hajah Naaimah memberi nasi siap dipek selain buah-buahan dan menuangkan laban untuk saya. Sebenarnya saya tidak minum laban, susu masam umpama yogut kerana tidak menggemari bau serta rasanya tetapi disebabkan tidak sihat, saya minum juga.

Hanya setelah makan nasi saya gagahkan diri untuk membuang botol dan pek makanan di dalam tong sampah berhampiran.

Semua bertanya keadaan saya selepas itu dan saya katakan Alhamdulillah.

“Nasib baik hajah dah duduk di kerusi panjang waktu tak sihat tadi,” ujar Haji Ridzwan.

“Alhamdulillah. Kalau rebah kat tempat lain lagi susah,” balas saya.

Tidak lama selepas itu, Haji Ridzwan mengarahkan semua jemaah memasuki ruang terminal berlepas untuk daftar masuk. Saya tidak bingkas bangun dan perlahan-lahan mengekori mereka.

Troli yang saya bawa ditolak oleh makcik Kamariah, teman sebilik saya di Tanah Suci dan seusia ibu saya yang berumur 73 tahun. Tidak sampai hati saya melihat beliau menolak troli itu yang sarat dengan bagasi.

“Makcik,biar Ana tolaklah,” pinta saya.

“Tak mengapa, biar makcik tolak,” ujar beliau pula.

“Tak pe. Biar Ana tolak. Ana dah ok,” pinta saya lagi.

Selesai urusan daftar masuk dan memperoleh pas berlepas, kami melangkah ke imigresen dan seterusnya ke ruang menunggu. Pesawat yang sepatutnya dijadualkan berlepas jam 2.15 pagi lewat satu jam daripada jadual ditetapkan.

Alhamdulillah, kami selamat tiba selepas menempuhi perjalanan kira-kira lapan jam.

Ikuti sambungan catatan saya mengenai kemanisan berpuasa di Tanah Suci Madinah dan Makkah pada minggu hadapan, insyaAllah.

Artikel Lain