suria

MTUC Minta Menteri Campur Tangan Isu Gaji Rayani Air, Eaglexpress

N. Gopal Kishnam.

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mahu Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot campur tangan dalam menyelesaikan isu tunggakan gaji dua syarikat penerbangan, Rayani Air dan Eaglexpress.

Setiausaha Agung kesatuan itu, N. Gopal Kishnam berkata, MTUC menggesa Riot untuk mengambil tindakan segera bagi memastikan semua pekerja dua syarikat tersebut menerima tunggakan gaji tanpa sebarang kelewatan.

Katanya, kesatuan akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Sumber Manusia itu sekiranya dua syarikat berkenaan gagal melunaskan tunggakan gaji sebelum Aidilfitri.

“Sehubungan itu, MTUC menggesa supaya Rayani Air dan Eaglexpress menyelesaikan masalah tunggakan gaji dengan segera.

“Aidilfitri semakin hampir dan sebahagian besar kakitangan kedua-dua syarikat penerbangan ini beragama Islam, jadi mereka terbeban untuk menyambut perayaan ini sekiranya gaji mereka terus tertunggak,” katanya kepada mStar Online pada Khamis.


Laporan sebelum ini mendedahkan seramai 415 kakitangan Rayani Air menanggung tunggakan gaji selama tiga bulan, manakala gaji kira-kira 300 pekerja Eaglexpress tertunggak dua bulan.

Terdahulu, kedua-dua syarikat penerbangan ini memberi jaminan untuk melunaskan tunggakan gaji pekerja masing-masing sebelum Aidilfitri.

Menurut Gopal, MTUC turut mendesak Rayani Air dan Eaglexpress mempercepatkan pembayaran bagi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“MTUC desak majikan kedua-dua syarikat ini mempercepat urusan bayaran tunggakan gaji dan caruman KWSP serta caruman Perkeso, atau kita akan ambil tindakan serius bagi memastikan pekerja tidak terus terbeban," katanya dengan tegas.

Tunggakan gaji Rayani Air berikutan operasinya digantung sementara pada 11 April lalu, sebelum dihentikan berkuat kuasa serta-merta pada 13 Jun, susulan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) dan Sijil Pengendali Udara (AOC) milik syarikat dibatalkan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

Syarikat penerbangan patuh syariah pertama negara itu kini dalam usaha untuk mengembalikan ‘nyawa’ menerusi rayuan yang dibuat kepada Mavcom dan DCA, dan pada masa sama mencari pelabur untuk mengambil alih syarikat sekiranya ia dibenarkan beroperasi kembali.

Ketiadaan sijil Audit Keselamatan Operasi IATA (IOSA) menyebabkan Eaglexpress tidak dapat beroperasi berikutan salah satu perniagaan utamanya terikat dengan Saudi Arabian Airlines (Saudia) bagi membawa jemaah umrah dan haji, mengakibatkan masalah kewangan sehingga membawa kepada tunggakan gaji dua bulan.

Bagaimanapun, syarikat penerbangan carter itu telah memperoleh IOSA baru-baru ini dan dilaporkan perniagaannya kembali normal.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain