suria

Selangor Lantik Dua Wanita Hakim Mahkamah Tinggi Syariah

Noor Huda Roslan (kiri) berjabat tangan dengan Nenney Shuhaidah Shamshudin (kanan) selepas menerima watikah pelantikan di Istana Bukit Kayangan pada Isnin.

SHAH ALAM: Selangor mencipta sejarah apabila melantik dua wanita sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah yang pertama di negara ini pada Isnin.

Kedua-dua mereka, Noor Huda Roslan, 40, dan Nenney Shuhaidah Shamsuddin, 41, menerima watikah pelantikan berkenaan daripada Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan di sini.

Tujuh lagi wanita turut menerima surat pelantikan mereka sebagai Hakim Mahkamah Rendah Syariah.

Sementara itu, Ketua Hakim Syarie Selangor, Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, berkata pelantikan berkenaan membuktikan keprihatinan Sultan Selangor terhadap isu Mahkamah Syariah.

"Tuanku melihat peranan yang boleh dimainkan wanita dalam melaksanakan keadilan dengan berkesan terutama di Selangor," katanya.

Bagaimanapun beliau menegaskan pelantikan hakim wanita bukan membabitkan isu gender, sebaliknya ia atas keupayaan pegawai itu sendiri yang dilihat layak memegang jawatan Hakim Syarie.

Artikel Lain