suria

Sebuah Rumah Dikosongkan Semula Selepas Kadar Merkuri Masih Tinggi

Pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Butterworth melakukan pemeriksaan di kawasan sebuah rumah di Jalan Padang Menora, Kampung Baru pada Khamis. - fotoBERNAMA

TASEK GELUGOR: Satu keluarga diarah mengosongkan semula rumah mereka di Jalan Padang Menora, Kampung Baru di sini yang sebelum ini dicemari merkuri, selepas didapati kadar bacaan cecair kimia itu masih tinggi.

Pegawai Perhubungan Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Azman Hussin berkata rumah yang didiami sepasang suami isteri dan tiga anak mereka itu, terpaksa dikosongkan pukul 2 petang Rabu selepas Pasukan Pengurusan Bahan Berbahaya (Hazmat) melakukan pemeriksaan.

"Bacaan raksa mencecah 11 mikrogram di kediaman berkenaan. Arahan mengosongkan rumah itu bagi membolehkan pasukan Hazmat menjalankan kerja pembersihan di situ," katanya di sini Khamis.

Beliau berkata operasi pembersihan dengan bantuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) menggunakan serbuk sulfur dan cecair peluntur diteruskan hari ini bagi memastikan rumah itu selamat dihuni semula.

Pencemaran merkuri menerusi hiduan wap merkuri atau dengan memakan makanan yang dicemari merkuri, boleh menjejaskan fungsi otak.

Pemilik rumah itu, Hasnah Hassan, 56, berkata mereka sekeluarga yang dibenarkan pulang dari Hospital Bukit Mertajam pada Isnin lalu selepas dimasukkan dua hari, kini menumpang di rumah saudaranya tidak jauh dari situ.

Menurutnya, merkuri itu dibawa pulang oleh anak lelakinya yang menjumpainya dalam ladang kelapa sawit di situ, Khamis lepas.

"Dia dengan kawan-kawan kemudian bermain dalam rumah dan menumpahkannya di ruang tamu. Saya langsung tidak sentuh cecair itu, cuma guna penyapu untuk sapu sahaja sebelum tiba-tiba rasa demam dan sakit kepala sehari selepas itu.

"Bila petang Sabtu baru tahu cecair itu berbahaya, itu pun selepas bomba datang ke rumah buat pemeriksaan. Kami semua dibawa ke hospital untuk diperiksa serta diambil darah bagi ujian lanjut," katanya.

Jirannya, Mohd Abdul Ghaddar Mohd Nasir, 49, pula berkata beliau terpegang cecair merkuri itu selepas anak lelakinya dan beberapa rakan bermain dengan bahan kimia berkenaan di rumahnya termasuk membaling di atas motosikalnya.

"Saya memang tidak tahu itu benda apa dan terpegang bahan itu yang ada di atas motosikal. Sejak Khamis lepas badan saya rasa lenguh, tidak larat dan muntah. Selepas dihantar ke Hospital Bukit Mertajam pada Sabtu lalu, baru tahu kami mungkin kena pencemaran merkuri," katanya.

Seorang lagi mangsa, Roshida Arshad, 45, berkata anak lelakinya membawa balik cecair itu dan menunjukkan kepada suaminya sebelum menyimpan bahan kimia berkenaan dalam botol mineral.

"Suami saya marah anak sebab dia bawa balik cecair itu dan suruh dia buang tetapi anak bawa ke sekolah kerana dia kata mahu tunjuk kepada cikgunya sebelum bahan berkenaan tumpah dalam kelas," katanya.

Dalam kejadian petang Sabtu lalu, seramai 15 penduduk di Jalan Padang Menora, Kampung Baru dihantar ke hospital untuk pemeriksaan kerana dikhuatiri terdedah kepada cecair merkuri.

Terdahulu pada Khamis, seramai 56 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Guar Perahu, Bukit Mertajam dikuarantin selepas berlaku tumpahan merkuri di kelas mereka. - BERNAMA

merkuri

Artikel Sebelum

Artikel Lain