suria

Polis Cari Wanita Indonesia Bantu Siasatan Kes Bunuh

SEREMBAN: Polis masih mengesan seorang wanita warga Indonesia bagi membantu siasatan kes bunuh melibatkan seorang warga emas berusia 78 tahun, di Taman Paroi Jaya dekat sini, Rabu.

Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Muhamad Zaki Harun berkata wanita berusia awal 30-an itu dicari memandangkan beliau yang diupah sebagai pembantu rumah sementara di rumah mangsa, dipercayai adalah individu terakhir yang ada bersama mangsa.

Beliau berkata mangsa ditemukan dalam keadaan tangan berikat dengan tuala serta terdapat kesan jerutan di leher, di banglo dua tingkat di Taman Paroi Jaya oleh anak perempuan mangsa pada pukul 7.30 malam, sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

"Tiada kesan kecederaan atau luka pada kepala mangsa tetapi terdapat kesan lebam dan calar pada leher dan pangkal lengan serta luka kecil di jari telunjuk sebelah kanan manakala rantai dan cincin yang dipakai mangsa hilang dipercayai dilarikan suspek.

"Pasukan Forensik Polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan berjaya menemui beberapa kesan cap jari di lokasi kejadian.

Polis juga sedang mengumpul maklumat berkaitan suspek," katanya.

Beliau berkata polis percaya ia dilakukan oleh individu yang dikenali mangsa memandangkan tiada kesan pecah masuk dijumpai.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - BERNAMA
wanita Indonesia, PDRM, kes bunuh

Artikel Lain