suria

Jenayah Huckle Terbongkar Selepas Polis Kesan Aktiviti Dalam Talian

PETALING JAYA: Kes penghidap pedofilia, Richard Huckle yang mengaku melakukan serangan seksual terhadap kanak-kanak seawal enam bulan di Malaysia terbongkar selepas polis Australia mengesan kegiatannya secara dalam talian semasa siasatan terhadap suspek lain, lapor BBC News.

Polis Australia dan Eropah menyedari laman web pedofilia yang dipanggil Love Zone yang tersembunyi di sebalik laman web gelap - dilindungi oleh kata laluan, dan perisian pakar.

Pengguna laman web itu secara keseluruhannya tidak mendedahkan nama masing-masing.

Imej dan video yang terdapat di dalam laman web itu amat membimbangkan, menunjukkan penderaan bayi dan kanak-kanak.

Ahli-ahli perlu memuat naik banyak grafik untuk terus kekal dalam laman web itu.

Terdapat puluhan ribu akaun di dalam laman web itu.

Pegawai Pasukan Petugas Khas Argos di Australia mengetahui pencipta laman web itu menggunakan ucapan luar biasa iaitu perkataan 'hiyas'.

Selepas melakukan beberapa pencarian di laman sembang dan forum terbuka di Internet, mereka menjumpai laman Facebook seorang lelaki yang menggunakan perkataan sapaan yang sama.

Walaupun laman Facebook itu palsu, mereka mengenal pasti sekeping gambar sebuah kenderaan dan membawa kepada penemuan seorang lelaki dikenali sebagai Shannon McCoole- seorang kakitangan penjagaan kanak-kanak di Adelaide.

Ketika pegawai melakukan serbuan, suspek sebenarnya sedang dalam talian mengendalikan laman web itu.

Mereka mengambil secara terperinci gambar tangan McCoole di mana salah satu jarinya sepadan dengan kebanyakan imej penderaan.

Pasukan petugas khas itu akhirnya mengambil alih pengurusan laman web tersebut.

McCoole dijatuhi hukuman penjara selama 35 tahun pada 2015.

Dengan menggunakan data yang diperolehi daripada laman web dan maklumat Huckle yang disiarkan di media sosial dan laman internet terbuka yang lain, mereka mengenal pasti siapa sebenarnya diri suspek dan tempat tinggalnya.

Menyedari suspek pulang ke Britain untuk sambutan Hari Krismas pada 2014, mereka memberi maklumat tersebut kepada Agensi Jenayah Kebangsaan Britain.

Sebaik sahaja Huckle mendarat di Lapangan Terbang Gatwick, suspek ditahan polis.

Richard Huckle, pedofilia

Artikel Sebelum

TPM Ziarah Jenazah Menantu

Artikel Lain