suria

Sesi Amanat Presiden PAS Tak Sentuh Tahaluf Siyasi Dengan PKR

KOTA BARU: Sesi Amanat Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Rabu malam tidak membincangkan mengenai tahaluf siyasi dengan PKR, kata Setiausaha Agung parti, Datuk Takiyuddin Hassan.

"Itu (tahaluf siyasi) tidak disebut. Itu belum ada," katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi amanat tersebut berakhir pada lewat malam.

Pada Rabu, Dewan Muslimat PAS menerima usul mendesak parti Islam itu mengkaji semula hubungan tahaluf siyasi dengan PKR terutama pada pilihan raya umum akan datang.

Usul yang dikemukakan Dewan Muslimat PAS Kedah pada Muktamar Dewan Muslimat PAS ke-56 itu diterima tanpa bahas dan akan diserahkan kepada Majlis Syura Ulama PAS.

Dilaporkan usul berkenaan antara lain menyebut PKR dilihat seolah-olah tidak menghormati PAS dengan menjalin kerjasama dengan Parti Amanah Negara (Amanah) yang kerap melemparkan pelbagai dakwaan terhadap PAS.

Takiyuddin berkata, Abdul Hadi menyentuh soal isu dalaman parti serta hala tuju PAS mengenai budaya politik matang dan sejahtera.

Selain mendengar amanat daripada Abdul Hadi, pimpinan parti turut menjawab beberapa tohmahan yang disuarakan perwakilan.

Tambah Takiyuddin, antara tohmahan itu adalah mengenai muktamar tahun ini tidak dibuka kepada media.

"Jadi, saya telah jelaskan. Kita telah keluarkan 198 pas kepada 42 agensi berita dan blog untuk esok (Khamis). Muktamar kita terbuka kepada awam dan media," katanya.

PAS, Muktamar

Artikel Lain