suria

Karyawan Sutung Umar RS Meninggal Dunia

Sutung Umar RS.

PETALING JAYA: Karyawan kelahiran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wan Omar Wan Ahmad atau lebih dikenali sebagai Sutung Umar RS meninggal dunia kira-kira pukul 4.18 petang Isnin akibat komplikasi buah pinggang dan kencing manis.

Beliau menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Taman Seri Gombak pada usia 68 tahun.

Difahamkan sejak tiga tahun lalu, Allahyarham kerap mendapatkan rawatan dialisis di sebuah hospital swasta di Ampang.

Menurut anak sulung allahyarham, Wan Murni Wan Omar, jenazah bapanya akan dibawa ke Masjid Al Kyairiah Taman Sri Gombak untuk urusan pengebumian.

Katanya, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Permata, Taman Seri Gombak.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Rihan Mohd Salleh, 63, seorang anak perempuan dan dua lelaki serta seorang cucu.

Sutung Umar RS yang berasal dari Kota Baru, Kelantan cukup dikenali di pentas seni tempatan.

Karyawan lulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Penulisan Kreatif dan Deskriptif dari Universiti Malaya itu pernah bertugas di Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera dan di Bahagian Majalah DBP.

Beliau turut bertugas sebagai Editor Kumpulan Majalah terbitan DBP sebelum menyertai Kumpulan Berita Harian.

Antara karya popular yang dihasilkannya adalah Makyung, Wau Bulan, Taburkan Bunga, Kampung Halaman dan Api Cinta.


Artikel Lain