suria

Ahli Perniagaan Didakwa Lakukan Ugutan Bom Dalam Pesawat Ke Singapura

PETALING JAYA: Seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini Isnin atas pertuduhan melakukan ugutan bom di dalam pesawat Firefly dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang ke Singapura, dua minggu lepas.

Wong Choon Loong, 41, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Atiqah Abdul Karim @ Husain.

Wong didakwa melakukan ugutan itu sehingga mendatangkan ketakutan menerusi telefon dengan menyatakan ada bom dalam pesawat Firefly 3251 di pejabat perkhidmatan pelanggan Firefly Airlines, Citta Mall, Jalan PJU 1A/48, di sini, pada 7.36 petang, 17 Mei.

Pertuduhan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan 

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Yahya menawarkan jaminan sebanyak RM8,000.

Peguam L.H Yap yang mewakili tertuduh yang juga pengarah beberapa buah syarikat memohon mahkamah mengurangkan jaminan atas alasan anak guamnya menguruskan banyak syarikat. - BERNAMA

ugutan bom, pesawat

Artikel Sebelum

Artikel Lain