suria

Fahami Tujuan Pindaan RUU Mahkamah Syariah - Mohd Amar

Mohd Amar Nik Abdullah.

KOTA BARU: Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menyifatkan mereka yang menentang atau mengkritik pembentangan usul Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian mengenai RUU Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat minggu lepas, tidak memahami tujuan usul itu dibentangkan.

Beliau berkata usul itu dibentangkan untuk memartabatkan Mahkamah Syariah dan ia hanya melibatkan umat Islam.

"Kita membawa usul ini adalah untuk memartabatkan Mahkamah Syariah supaya mereka boleh kenakan hukuman yang lebih tinggi berbanding sekarang hanya diberi kuasa untuk menjatuhkan hukuman tidak melebihi tiga tahun penjara, RM5,000 denda dan enam sebatan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah kepada pembeli di Taman Kurnia Jaya, Pengkalan Chepa, di sini Isnin.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, berkata sememangnya cadangan pindaan akta berkenaan perlu mendapat kerjasama daripada kerajaan persekutuan kerana kerajaan sendiri memang ada hasrat untuk menaikkan taraf Mahkamah Syariah.

"Saya yakin sekiranya ada perbincangan secara objektif, secara ilmiah dalam masa beberapa bulan ini, saya merasakan ramai orang yang akan faham.

"Seperti juga ketika kerajaan memperkenalkan perbankan Islam, takaful Islam, masa itu ramai yang sangsi dan pertikai tetapi bila lihat banyak faedahnya kepada masyarakat, maka ramai yang ikutinya termasuk orang bukan Islam yang menyimpan dan membuat pinjaman," katanya. - BERNAMA

Mohd Amar Nik Abdullah, PAS, hudud

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain