suria

Cadangan Diskaun 50 Peratus Lesen Motosikal Kepada Pelajar Cemerlang SPM

KUALA LUMPUR: Seorang anggota Parlimen pada Khamis mencadangkan agar pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diberi diskaun untuk memohon lesen motosikal.

Datuk Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor) berkata diskaun sehingga 50 peratus boleh diberi kepada pelajar cemerlang bagi membantu mereka terutama yang kurang berkemampuan mengambil lesen untuk membawa motosikal ke sekolah.

"Walaupun telah ditetapkan harga siling kos mendapatkan lesen motosikal, tetapi didapati ramai pelajar yang menggunakan motosikal ke sekolah tidak mempunyai lesen kerana faktor ketidakmampuan keluarga.

"Jika diskaun ini diberi, ia akan membantu mereka mendapatkan lesen di samping menggalakkan mereka cemerlang dalam pelajaran," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2016 pada persidangan Dewan Rakyat di sini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi ketika menggulung perbahasan RUU tersebut berkata kementerian melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengurangkan kos pengambilan lesen motosikal B2 melalui program MyLesen.

Katanya melalui program ini pemohon hanya perlu membayar RM299 untuk memiliki lesen motosikal dan sejak dilancarkan pada September tahun lalu, sebanyak 63,000 pemohon berjaya didaftarkan dengan 50 peratus telah berjaya mendapatkan lesen.

"Kita juga alu-alukan mana-mana pihak melaksanakan CSR (tanggungjawab sosial korporat) memberi diskaun 50 peratus kepada pelajar cemerlang untuk mengambil lesen B2 ini," katanya.

RUU ini antara lain bertujuan meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengukuhkan kuasa penguatkuasaan di bawah Akta 333 dengan memperluaskan kuasa warden lalu lintas sedia ada yang diberi kepada Datuk Bandar, pegawai atau orang dalam perkhidmatan Majlis Bandaraya dan Perbadanan Putrajaya kepada pihak berkuasa tempatan khususnya kepada Majlis Perbandaran.

Ia juga bertujuan menambah baik pelaksanaan dan keberkesanan sistem pemberian mata untuk mencegah pelakuan kesalahan lalu lintas tertentu dan untuk memastikan bahawa sesesorang yang melakukan kesalahan lalu lintas tidak menjadi pesalah berulang.

RUU itu kemudian dilulus tanpa sebarang pindaan.

Persidangan dewan ditangguhkan dan dijadual bersidang semula pada 17 Oktober depan. - BERNAMA

SPM, BN, lesen motosikal, diskaun

Artikel Lain