suria

Kes Banglo Guan Eng: SPRM Serah Kertas Siasatan Kepada Peguam Negara

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyerahkan kepada Peguam Negara kertas siasatan kes melibatkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, petang Rabu.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki berkata, dokumen yang telah lengkap itu akan diteliti Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebelum membuat keputusan untuk tindakan selanjutnya.

"Sekiranya Tan Sri Mohamed Apandi berpuas hati terhadap keterangan kertas siasatan yang dikemukakan, maka tindakan undang-undang yang sewajarnya akan diambil.

"Sebaliknya, sekiranya siasatan SPRM didapati tidak mempunyai keterangan yang mencukupi, maka tiada tindakan undang-undang diambil," katanya.

Menurut Azam lagi, perkara tersebut adalah selaras dengan Artikel 145 Perlembagaan Persekutuan yang mana kuasa mendakwa adalah di tangan Peguam Negara.

Ahad lalu, pegawai SPRM berkunjung ke rumah Guan Eng untuk mengambil keterangan berhubung pembelian banglonya yang dikatakan pada harga di bawah nilai pasaran.

Sebanyak lapan pegawai SPRM dalam tiga kenderaan dilihat masuk ke perkarangan banglo Lim kira-kira 3 petang dan beredar kira-kira sejam kemudian.

Penasihat Undang-Undang Ketua Menteri Ramkarpal Singh  berkata Guan Eng telah diminta memberi keterangan di Pejabat SPRM negeri pada 10 pagi ini.

Pada 6 Mei lepas, Guan Eng dan isteri Betty Chew diminta memberi keterangan di pejabat SPRM berhubung kes sama dan penjualan tanah di Taman Manggis, Jalan Zainal Abidin yang pada asalnya diperuntukkan untuk pembinaan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin.

Artikel Berikut

Artikel Lain