suria

Tiga Exco PAS Perlu Undur Diri - DAP

SHAH ALAM: Tiga ahli exco PAS dalam kerajaan Selangor perlu meneliti semula kedudukan mereka dalam barisan kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, kata seorang pemimpin DAP negeri itu.

"Jika saya salah seorang daripada mereka, saya akan meletak jawatan kerana saya tidak mengikut arahan menteri besar," kata Ketua Pemuda DAP Selangor, Eric Teh Hoong Keat.

Beliau berkata keadaan akan menjadi sukar untuk mereka kekal dalam majlis eksekutif selepas PAS enggan bekerjasama mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar.

Azmin telah meminta PAS untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar supaya PKR boleh meletakkan calon di kerusi tersebut.

Namun, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan parti itu tetap akan bertanding walaupun isyarat menunjukkan PKR mempunyai peluang cerah untuk menang.

Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor, Abbas Azmi berkata ia berkaitan integriti sama ada atau tidak ahli exco PAS kekal dalam kerajaan negeri.

"Namun ia adalah keputusan parti mereka (untuk bertanding di Sungai Besar) jadi mereka berhak berpegang kepadanya," kata Abbas.

Teh dan Abbas berkata demikian kepada pemberita pada sidang media PKR-Amanah-DAP selepas mengumumkan pelan kempen untuk PRK Sungai Besar yang diadakan pada 18 Jun ini.

Abbas berkata 100 ahli pemuda setiap parti akan bekerjasama untuk berkempen bagi calon Pakatan Harapan.

Ironinya, wakil pemuda PKR tidak hadir pada sidang media itu.

Sementara itu, menurut sumber PKR, rundingan antara Azmin dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad menemui jalan buntu.

Sumber berkata pemimpin peringkat akar umbi mula menyalahkan Amanah kerana mencetuskan huru-hara.

"Mereka (ahli Amanah) sepatutnya kekal di dalam PAS dan bukannya membentuk parti lain," katanya.


exco Selangor, PAS, PRK Sungai Besar

Artikel Lain