suria

Lelaki Didakwa Hina TMJ Ditahan

PETALING JAYA: Seorang lelaki ditahan kerana didakwa menghina kerabat Diraja Johor di media sosial.

Muhamad Masyhur Abdullah, 29, ditahan di tempat kerjanya di Kuala Lumpur pada Rabu atas kenyataan menghina Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim di Twitter.

Lelaki itu dibawa ke Johor Baru di mana dia akan ditahan reman bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Johor Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd mengesahkan penahanan itu.

Hasil pemeriksaan mendapati akaun Twitter @TheKeluangMan dipercayai dimiliki Muhamad Masyhur.

Difahamkan Muhamad Masyhur membuat komen tersebut sebagai reaksi balas kepada imej yang dimuat naik Tunku Ismail di dalam laman Facebook Johor Southern Tigers.

Imej tersebut menunjukkan Tunku Ismail pemilik pasukan Johor Darul Takzim sedang menikmati hidangan dan miniatur gajah diletakkan di atas pinggan dengan perkataan CEO tertulis diatasnya.

Gajah merupakan maskot untuk pasukan bola sepak Pahang atau lebih dikenali sebagai Tok Gajah yang tewas 0-6 di tangan JDT pada aksi Liga Super, Sabtu lalu.

Suspek disiasat berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian mengikut Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.


TMJ, PDRM, miniatur gajah

Artikel Lain