suria

Keluarga Mahu Tahu Punca Tekanan Darah Anwar Tidak Stabil

Datuk Seri Anwar Ibrahim

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikejarkan ke hospital dari penjara Sungai Buloh pada malam Isnin perlu dirawat di wad Hospital Kuala Lumpur (HKL) setelah tekanan darahnya didapati masih tidak stabil.

Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Fahmi Fadzil berkata, beliau difahamkan oleh keluarga bekas ketua pembangkang itu bahawa Anwar 'memerlukan kajian perubatan lanjut' bagi menentukan punca berlakunya keadaan itu.

"Difahamkan keluarga Datuk Seri Anwar minta pihak doktor untuk kaji apa yang menyebabkan perubahan tekanan darah itu berlaku.

"Jika ia adalah perkara yang lebih serius daripada kita jangkakan, pihak hospital dan penjara perlu pastikan rawatan rapi diberikan kepada beliau," katanya kepada mStar Online, Selasa.

Fahmi berkata, Anwar kini menerima rawatan di HKL dan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah dibenarkan melawatnya.

"Beliau belum dibenarkan pulang dan tidak dirawat di Unit Rawatan Rapi," katanya.

Anwar dikejarkan ke hospital selepas mengalami tekanan darah tidak stabil pada Isnin malam.

Pemimpin pembangkang itu pernah menyuarakan kebimbangan mengenai kesihatannya pada Julai 2015, dengan peguamnya meminta supaya beliau ditempatkan sebagai tahanan rumah kerana keadaan kesihatannya merosot, sambil menambah Anwar tidak diberikan akses yang sewajarnya untuk mendapatkan rawatan di penjara.

Bagaimanapun, panel yang terdiri daripada 11 pakar perunding kanan HKL memeriksa keadaan kesihatan Anwar tetapi tiada yang mengesyorkan fisioterapi intensif.

Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun setelah Mahkamah Persekutuan pada 2015 bagi kesalahan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, pada 2008.

Artikel Lain