suria

Miss Malaysia Universe 1973 Kini Mengajar Dandanan, 'Modeling'

Gambar Maggie Loo yang diambil pada tahun 1973.
PETALING JAYA: Ketika Maggie Loo mewakili Malaysia dalam pertandingan ratu cantik Miss Universe pada tahun 1973, salah seorang juri bertanyakan satu soalan yang tidak mampu dijawabnya.

Soalan itu adalah, "jika teman lelaki anda penagih dadah dan anda tahu perbuatannya itu akan menjatuhkan nama anda, apa yang anda akan lakukan?"

Loo yang ketika itu berusia 19 tahun menjawab bahawa 'dia tidak tahu'.

"Kerana pada masa itu, saya benar-benar tidak mempunyai teman lelaki," Loo mengimbas peristiwa itu sambil ketawa.

Hari ini, pada usi 62, Loo menganggap dia mungkin mempunyai jawapan yang lebih tepat.

Pernah menjalani kehidupan sebagai Miss Universe Malaysia 1973, model, ahli perniagaan, isteri dan ibu, Loo menganggap apa yang dilaluinya tidak semudah yang dilihat atau dinilai.

Loo bagaimanapun sentiasa berpegang teguh kepada prinsip 'hidup ini terlalu singkat untuk menyesali sesuatu'.

Hari ini, Loo alah kepada makanan laut dan tekanan darahnya sedikit tinggi, tetapi dia tetap meneruskan hidup seperti biasa.

Rutin hariannya termasuklah mengendalikan akademi permodelan dan dandanannya, di mana ia telah membimbing lebih daripada 20 ratu cantik, meluangkan masa bersama suaminya Lim Nam Aik dan melayan kerenah anak perempuannya yang berusia 20 tahun, Grace.

Dia juga mempunyai rancangan untuk menulis dan menerbitkan biografi sendiri.

"Saya ni jenis 'orang lama'," kata Loo untuk menjelaskan bagaimana dia boleh menghabiskan berjam-jam menyediakan sukatan pelajarannya.

"Bagaimanakah seseorang itu boleh memberi impak apabila dia berjalan di pentas? Apa yang diperlukan untuk menambah rasa hormat penonton dalam pertunjukan fesyen?," katanya.

Loo telah menggilap bakat-bakat ratu cantik ini dan mengajar mereka supaya tenang di pentas sejak 1970-an.

"Dalam tahun 80-an, pertunjukan fesyen adalah sesuatu yang meriah.

"Ketika itu, model-model akan menggayakan pakaian dengan membuka dan kemudian memakai semula jaket supaya penonton boleh melihat bagaimana ia boleh memberi keselesaan.

"Atau mereka akan bermain-main dengan skarf dengan melakukan sesuatu seperti tarian reben supaya penonton dapat melihat coraknya.

"Hari ini, model biasanya hanya berjalan lurus ke luar pentas dan cepat-cepat masuk ke dalam," kata Loo.

Dia bimbang jika perkara ini berterusan, keindahan dan kesuburan dunia permodelan suatu masa dulu akan menjadi satu seni yang hilang.

Loo mengaku dia tidak melakukan senaman tetapi aktiviti mengajar di kelasnya membantu untuk memelihara bentuk badannya.

"Jangan sekali-kali berfikir bahawa melakukan catwalk adalah seperti berjalan-jalan di taman," katanya memberi amaran.

"Anda perlukan stamina. Saya membesar dengan memanjat pokok jambu di Kampung Satu, Sungai Besi, jadi saya sentiasa cergas," katanya.

Loo, yang tidak mempunyai banyak masa lapang mengakui bahawa dia tidak mahu bersara dan menghabiskan masanya dengan 'goyang kaki'.

Dia mungkin hanya mempunyai tiga kelas seminggu, tetapi Loo berminat untuk melihat apa yang telah dipelajari oleh pelajar-pelajarnya.

Ini bermakna dia perlu menganjurkan acara di mana mereka boleh muncul di khalayak ramai di mana ia dianggap lebih penting untuk membangunkan sikap tenang dan keyakinan.

Jika tidak bekerja, Loo akan menyanyi bersama kumpulan koir gereja di mana dia telah menjadi konduktor selama 16 tahun.

"Saya suka menyanyi," katanya.

Memasak adalah satu lagi aktiviti kegemaran Loo.

"Jika saya tidak menjadi model, saya akan menjadi seorang tukang masak," katanya.

Mengenai anak perempuannya, Grace, dia kini sedang mengikuti ijazah dalam bidang perniagaan antarabangsa di sebuah universiti tempatan.

"Orang selalu bertanya jika saya akan menjadikannya Miss Malaysia. Saya serahkan kepada dirinya sendiri," katanya.
Maggie Loo, Miss Universe 1973

Artikel Lain