suria

KPT Beri Pilihan Kepada Ibu Bapa, Pelajar Tentu Hala Tuju Pendidikan Selepas SPM

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus memberi pilihan kepada ibu bapa dan pelajar untuk menentukan hala tuju pendidikan selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia(SPM).

Menterinya Datuk Seri Idris Jusoh berkata kementeriannya tidak berhasrat untuk mewajibkan lepasan SPM yang gagal melanjutkan pengajian dalam bidang akademik supaya menyambung pengajian mereka ke institusi yang menawarkan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Beliau berkata lepasan SPM mempunyai banyak peluang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang TVET, termasuk di 34 politeknik ataupun di 94 kolej komuniti seluruh negara di bawah seliaan KPT, dan juga di institusi-institusi lain yang menawarkan TVET. 

"Kerajaan dan pihak-pihak lain akan terus berusaha untuk memperkasa dan mengarusperdanakan TVET serta meningkatkan kesedaran mengenai program itu dalam kalangan pelajar dan ibu bapa agar ia menjadi pilihan utama pelajar lepasan SPM yang kurang cenderung mengikuti jurusan akademik," katanya ketika dihubungi Bernama.

Baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Induk Jelajah Pendidikan Bumiputera 2016 Tan Sri Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar mengesyorkan agar kerajaan mewajibkan lepasan SPM yang tidak melanjutkan pengajian dalam bidang akademik supaya menyambung pengajian mereka ke institusi yang menawarkan TVET.

"Saya bukan tidak setuju dengan Tan Sri, namun adalah wajar ibu bapa dan pelajar diberi pilihan," kata Idris.-- Bernama


SPM, Idris Jusoh, TVET

Artikel Lain