suria

Jenazah Asmuni Disemadikan Dekat Dengan Pusara Noriah

Asmuni Abdullah bersama isterinya, Noriah ketika bercuti di Amerika Syarikat, Februari lalu.

KUALA SELANGOR: Jenazah Asmuni Abdullah selamat dikebumikan berdekatan pusara isterinya Datuk Noriah Kasnon di Tanah Perkuburan Islam Batu 12 Sungai Burong di sini, pagi Ahad.

Jenazahnya dikebumikan di kampung halamannya itu pada pukul 9.57 pagi.

Keranda yang membawa jenazah tiba di Masjid Ar Rahmah pada pukul 9.05 pagi dengan ratusan rakan-rakan dan saudara-maranya, termasuk ahli keluarga Noriah hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepadanya.

Asmuni dan Noriah, yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, sama-sama maut dalam tragedi helikopter di Sarawak pada Khamis.

Adik Asmuni, Norliah, 50, berkata empat orang anak abangnya tidak dapat hadir ke majlis pengebumian kerana semua mereka berada di Amerika Syarikat.

''Anak perempuannya yang berusia 20 tahun dan tiga lagi anak lelakinya berusia 21, 18, dan 14 tahun telah dimaklumkan mengenai pemergian ayahnya.

''Kami juga telah memaklumkan berita ini kepada bekas isteri Asmuni yang berusia 48 tahun. Mereka semua masih terkejut dan dukacita atas pemergiannya,'' katanya ketika ditemui di masjid.

''Abang saya telah menyatakan hasratnya untuk membawa pulang anak-anaknya dari Amerika untuk sambutan Hari Raya akan datang.

''Menyedihkan apabila hasrat beliau tidak dapat direalisasikan, '' katanya.

Asmuni merupakan anak sulung daripada lima beradik.

Syailina Durasat, 37, yang juga adik ipar Asmuni berkata cinta Noriah dan Asmuni adalah cinta sehidup semati walaupun dapat bersatu sebagai suami isteri dalam masa begitu singkat.

Pasangan itu saling mencintai ketika zaman persekolahan tetapi hanya berkahwin selama lapan bulan sebelum terkorban bersama-sama selepas terpisah selama lebih 30 tahun.

Ditanya sama ada anak-anak Asmuni yang akan terbang ke Malaysia dan melawat pusara bapa mereka, Syailina perkara itu akan dibincangkan.


Artikel Lain