suria

Tiada Rumah, Tiga Sekeluarga 'Menetap' Dalam Kereta

IPOH: Tiga sekeluarga berdepan nasib malang apabila mereka tidak mempunyai pilihan melainkan menjalani kehidupan dalam sebuah kereta di sekitar Kampar dekat sini sejak dua bulan lalu.

Keadaan lebih buruk apabila R. Rengaya, 51, seorang penjual bunga baru-baru ini telah menjalani pembedahan jantung dan buah pinggang, manakala isterinya N. Karnagi, 44, lumpuh dari paras pinggang ke bawah.

Rengaya berkata keluarganya terpaksa meninggalkan rumah sewa mereka di Taman Kinta, Gopeng, pada awal Mac kerana mereka tidak mampu membayar sewa.

Anak lelakinya yang berusia tujuh tahun telah berhenti sekolah sejak bulan lepas.

"Saya pernah menjual bunga di tepi jalan tetapi selepas diberitahu untuk meninggalkan rumah yang disewa, saya tidak mampu untuk berniaga lagi," katanya.

Walaupun menerima bantuan RM350 setiap bulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, ia tidak cukup untuk perbelanjaan rumah dan perubatan.

Keluarga ini telah menjalani hidup berpindah-randah dengan sebuah kereta Honda Civic biru tahun 1973 dengan bergerak dari satu kawasan ke kawasan lain untuk mencari rumah baharu dan bantuan kewangan.

"Saya bergerak di kawasan sekitar dan berhenti di kira-kira 30 kawasan antara Lawan Kuda, Gopeng dan Jelapang.

"Kami mandi di kuil, meminta sedekah untuk wang petrol dan juga mencari tempat tinggal," katanya pada sidang akhbar yang diadakan oleh Ketua Pusat Khidmat Dan Aduan BN Perak, Mohd Rawi Abdullah, Selasa.

Rengaya berkata, rumah yang disewa di Gopeng terlalu usang untuk didiami dan telah dinasihatkan oleh pemilik untuk mencari rumah lain.

"Tempat itu dipenuhi dengan anai-anai. Rumah itu juga tidak mempunyai tandas, "katanya.

"Saya telah cuba mencari rumah lain tetapi sewanya sangat tinggi.

"Ada kawan-kawan saya telah mempelawa kami tinggal bersama mereka tetapi kami tidak boleh berbuat demikian untuk tempoh yang panjang. Adalah lebih baik untuk kami mempunyai rumah sendiri, "katanya.

Rengaya adalah seorang pesakit jantung, manakala isterinya lumpuh dari pinggang ke bawah akibat melecur terkena air panas ketika berusia 18 tahun.

"Doktor kata saya boleh 'pergi' bila-bila masa. Saya hanya mahu keluarga saya mempunyai rumah  jika saya meninggal dunia," katanya.

"Saya juga telah menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang di India lebih dari setahun yang lalu," katanya, sambil menambah ia telah dibiayai oleh sumbangan orang ramai.

Sementara itu, Mohd Rawi berkata beliau akan cuba untuk mendapatkan unit di rumah pangsa untuk Rengaiya dan keluarganya di Ashby Road di sini.

Sesiapa yang ingin membantu keluarga ini boleh menghubungi Mohd Rawi di 016-554 6655 atau 019-516 8328.

Artikel Lain