suria

Warga Emas Cedera Parah Diserang Beruk

TANAH MERAH: Seorang warga emas cedera parah sehingga terpaksa menerima 25 jahitan di bahagian bahu dan tangan kiri akibat diserang seekor beruk jantan peliharaannya di Kampung Buluh, Gual Ipoh pada Ahad lalu.

Adam Mamat, 78, berkata kejadian berlaku 3 petang Ahad lepas, ketika beliau mahu memandikan beruk itu akibat kepanasan musim kemarau sekarang.

"Saya tidak sangka dia (beruk) mahu menerkam ketika saya hendak mengambilnya dari tempatnya diikat pada sebatang pokok berhampiran rumah saya.

"Sebelum ini dia (beruk) tidak pernah bertindak sedemikian sejak saya memeliharanya dari kecil sehingga umurnya kini hampir 10 tahun," katanya kepada pemberita di Hospital Tanah Merah di sini pada Rabu.

Adam berkata kejadian berkenaan merupakan insiden pertama dalam hidupnya sejak beliau mula memelihara beruk yang lain sebelum ini sejak berumur 20 tahun bagi melakukan kerja-kerja sambilan mengambil upah memetik kelapa.

"Saya bergelut dengan haiwan berkenaan kira-kira 30 minit. Ketika kejadian,tiada siapa di rumah saya, cuma hanya ada jiran perempuan yang tidak berani melakukan apa-apa ketika itu.

"Mereka (jiran) menghubungi rakan saya bagi mendapatkan bantuan, selepas berjaya melepaskan diri daripada pergelutan itu, walaupun berat hati...saya terpaksa membunuh beruk berkenaan dengan bantuan rakan saya bagi mengelak kejadian itu berulang dan mendatangkan bahaya kepada orang lain.

"Akibat kecederaan yang teruk di bahagian tangan disebabkan gigitan beruk yang mempunyai satu gigi taring itu, saya dibawa ke hospital oleh jiran bagi mendapatkan rawatan," katanya.

Beliau berkata kejadian itu menyebabkan beliau terpaksa mengorbankan minatnya memelihara haiwan berkenaan kerana dilarang oleh anak-anaknya.-Bernama

Beruk, Serang Warga emas

Artikel Lain