suria

Pemansuhan Subsidi Bukan Penyebab Kenaikan Petrol - PM

TAPAH: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan tindakan kerajaan melaksanakan pemansuhan subsidi petrol RON95 sejak Disember 2014, terbukti bukan penyebab utama kenaikan harga bahan bakar berkenaan.

Jelasnya, ini berdasarkan harga bahan bakar itu pada Januari 2015 sebanyak RM1.90 seliter selepas subsidi dimansuh dan diapungkan mengikut harga pasaran dan mencecah paras lebih rendah pada masa ini.

"Sewaktu kita (melaksanakan langkah) memansuhkan subsidi minyak, harga RON95 pada Januari 2015 adalah RM1.90 seliter berbanding dengan RM1.70 sen seliter pada hari ini.

"Malah, harganya pernah mencecah paras terendah RM1.60 seliter.

"Oleh itu, harga minyak RON95 seliter sekarang ini adalah lebih rendah berbanding dengan harga terdahulu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Minggu Amanah Saham Malaysia (MASM) 2016 anjuran Permodalan Nasional Berhad (PNB) di Stadium Mini Tapah di sini, Rabu.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Pengerusi PNB Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Mengulas lanjut, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata pemansuhan subsidi bahan bakar berkenaan sejak 2014 juga dapat membantu kerajaan menjimatkan berbilion ringgit.

"Pada 2013 misalnya, kerajaan membelanjakan sebanyak RM29 bilion bagi tujuan subsidi RON95, RON97 serta diesel," katanya.

Selain itu, Perdana Menteri turut memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus memainkan peranan menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat.

Katanya, antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia, mewujudkan Kedai Rakyat 1Malaysia serta Projek Perumahan 1Malaysia.

"Tidak kurang penting adalah penubuhan Klinik Rakyat 1Malaysia yang mana kos perbelanjaan kesihatan negara ini berada di tahap terendah dunia berikutan bayaran yang ditetapkan adalah sangat minimum," katanya.-Bernama

Pemansuhan subsidi, petrol

Artikel Lain