suria

Peletakan Jawatan Mueller Di MAB Cetus Satu Kejutan

KUALA LUMPUR: Keputusan Christoph Mueller untuk meninggalkan Malaysia Airlines Bhd sebelum kontrak tiga tahunnya sebagai ketua pegawai eksekutif tamat, mencetuskan satu kejutan.

Bagaimanapun peletakan jawatan beliau tidak seharusnya menggagalkan pelan pemulihan syarikat penerbangan nasional itu serta usahanya untuk mencatat keuntungan.

Seperti dijangka, fraterniti syarikat penerbangan itu terkejut dengan berita berkenaan kerana kemasukannya dalam syarikat penerbangan nasional itu daripada Aer Lingus Ireland tahun lalu, menimbulkan harapan untuk kebangkitan semula MAB sebagai entiti yang menguntungkan.

Meuller berupaya meletakkan asas yang betul dalam tempoh perkhidmatan yang singkat dan dalam proses berkenaan mengekalkan rekod kejayaaannya dalam memulihkan syarikat-syarikat penerbangan yang bermasalah.

Antara kejayaan beliau dengan Malaysia Airlines ialah mengurangkan kapasiti bagi laluan tidak menguntungkan serta kerjasama perkongsian kod dengan syarikat penerbangan Emirates.

Ketika di bawah kepemimpinan beliau juga, syarikat penerbangan nasional itu melaporkan keuntungan pada Februari tahun ini, keputusan bulanan positif pertama dalam tempoh beberapa tahun.

Beliau akan meninggalkan legasi yang hebat selepas mencatat beberapa kejayaan dalam tempoh yang singkat sejak pelantikannya pada 1 Mei 2015.

Beliau bagaimanapun akan terus berkhidmat bersama MAB sehingga September ini sebagai memenuhi notis enam bulan peletakan jawatannya.

Seorang penganalisis berkata, keputusan Mueller untuk meletak jawatan sebelum kontrak tiga tahunnya tamat, akan memberi mesej yang tidak baik kepada orang ramai, kerana beliau adalah seorang yang sangat berkaliber.

"Semua orang mempunyai harapan tinggi semasa beliau menyertai MAB. Beliau mengemudi syarikat penerbangan itu ke arah yang betul dan membuat keputusan yang sukar dengan rasionalisasi laluan dan pengurangan kakitangan.

"Jika pihak pengurusan meneruskan apa yang beliau tinggalkan kepada mereka, kami yakin syarikat penerbangan itu akan berpeluang kembali mencatat keuntungan," katanya kepada Bernama.

"Memalukan, beliau adalah lelaki yang baik," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes yang meluahkan kekecewaannya apabila beliau mendengar berita berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Firefly, Ignatius Ong berpendapat, pelan pemulihan mesti diteruskan oleh MAB kerana perkara asas sudah pun diletakkan pada tempatnya.

"Pasukan pengurusan perlu memastikan pelan pemulihan dilaksanakan," kata Ong yang menerajui syarikat penerbangan kos rendah itu yang juga anak syarikat MAB.

Sementara itu, berdasarkan kenyataannya pada Selasa, syarikat penerbangan nasional itu sedang giat mencari calon berpotensi sebagai ketua pegawai eksekutif yang baru, sama ada dari dalam atau luar.

Ia juga telah melantik Ketua Pegawai Operasi, Peter Bellew, bekas Pengarah Operasi Penerbangan Ryanair sebagai Pengarah Eksekutif MAB berkuatkuasa serta-merta.

Mueller mengemukakan sebab-sebab peribadi sebagai alasan peletakan jawatan awalnya.

"Saya berharap untuk meneruskan tugas yang menarik ini selama enam bulan lagi dalam jawatan eksekutif saya.

"Saya yakin syarikat ini kini berada di landasan yang betul untuk berjaya dalam fasa pertumbuhan seterusnya di bawah CEO baharu. Saya kekal komited untuk melakukan apa sahaja yang mampu bagi memudahkan pemulihan berterusan Malaysia Airlines," tambahnya. -Bernama

Christoph Mueller, MAB

Artikel Lain