suria

39 Ekor Tapir Mati Dilanggar Dalam Tempoh Lima Tahun

KUALA LUMPUR: Sebanyak 35 ekor Tapir mati akibat dilanggar kenderaan telah direkodkan bagi tempoh antara tahun 2010 hingga 2015, kata Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Ir Hamim Samuri. 

Beliau berkata ancaman seperti penerokaan hutan, perladangan dan penempatan antara faktor menyebabkan Tapir keluar dari habitat asalnya dan masuk ke kawasan berhampiran dengan penempatan. 

"Sehubungan itu, kementerian menjalankan beberapa usaha bagi melindungi dan memulihara kelestarian hidupan liar itu antaranya melaksanakan program 'Safe Tapir Crossing' iaitu memasang papan tanda lintasan Tapir di lokasi yang sering menjadi laluan hidupan liar. 

"Sebanyak 24 unit papan tanda lintasan Tapir, 37 set palang melintang (transverse bars) dan 24 unit lampu amber (amber light) telah ditempatkan diempat lokasi di Johor pada tahun lalu. 

"Ini dengan perbelanjaan sebanyak RM180,000 di bawah projek Central ForestSpine (CFS)," katanya ketika berucap merasmikan pelancaran kempen kesedaran Tapir di pusat beli belah Publika, di sini Selasa.

Hamim berkata, setakat ini kira-kira 260 papan tanda lintasan hidupan liar dipasang di seluruh Semenanjung Malaysia.

"Di samping itu, program menyelamat oleh Jabatan Perhilitan berjaya memindahkan sebanyak 67 ekor Tapir ke kawasan hutan yang lebih besar dan selamat serta menempatkan Tapir yang ditangkap di Pusat Konservasi Tapir, Sungai Dusun, Ulu Selangor untuk tujuan pembiakan. 

"Antara tahun 2004 hingga 2015, sebanyak 12 ekor anak Tapir telah dilahirkan dan daripada jumlah itu tujuh ekor dilepaskan ke hutan," katanya.

Tapir Malaya adalah salah satu daripada empat spesies Tapir yang terdapat di dunia.

Ia hanya terdapat di Asia Tenggara iaitu di Utara Myanmar, Thailand, Sumatera (Indonesia) dan Semenanjung Malaysia.-Bernama

Tapir, Dilanggar

Artikel Lain