suria

Siasan Akaun Berkanun Phang Li Dijangka Selesai Minggu Ini

Phang Li Koon

KUALA LUMPUR: Siasatan polis berhubung kandungan akuan berkanun ahli perniagaan, Phang Li Koon terhadap penjualan banglo kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, yang didakwa mempunyai maklumat palsu, dijangka selesai minggu ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata siasatan itu kini diperingkat akhir, iaitu dalam fasa mengemas kini maklumat dan perincian bagi melengkapkan kertas siasatan itu sebelum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

"Setakat ini, segala hasil siasatan telah dimajukan kepada pegawai berkaitan di Jabatan Peguam Negara dan dari situ, kita mendapati terdapat sedikit perkara dan maklumat yang perlu diselesaikan lagi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri majlis pelancaran Ujian Psikometrik Malaysian Integrity Test (MIT), yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini pada Selasa.

Pembelian banglo di Jalan Pinhorn, George Town oleh Guan Eng dengan harga RM2.8 juta mencetuskan kontroversi apabila Anggota Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya membangkitkannya pada persidangan Dewan Rakyat, dan mendakwa harga itu adalah di bawah nilai pasaran.

Shabudin dilaporkan berkata rumah itu dibeli daripada Phang dengan harga RM2.8 juta, sedangkan penilaian bebas menunjukkan nilai semasa banglo terbabit dalam lingkungan RM6 juta hingga RM6.5 juta.

Proses jual beli itu juga didakwa mempunyai kaitan dengan penjualan tanah negeri di Taman Manggis yang diperuntukkan bagi pembinaan projek perumahan rakyat termiskin.   

Pada 22 Mac lepas, Phang dalam akuan berkanunnya berkata beliau tidak meninjau nilai pasaran sebelum menjual banglo itu kepada Guan Eng pada harga RM2.8 juta, dan wanita berkenaan juga berkata dia tidak mempunyai hubungan perniagaan dengan kerajaan negeri. -Bernama

Phang Li, Banglo, Lim Guan Eng

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain