suria

Tindakan Disiplin Jika Buat Kenyataan Tanpa Kelulusan - SUPP

KUCHING: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) telah mengeluarkan amaran kepada semua anggotanya bahawa sebarang kenyataan akhbar mesti mendapat kelulusan terlebih dahulu dari Bilik Gerakan pusat parti itu sepanjang tempoh pilihan raya ini.

Pengarah Operasi Datuk Matthew Chen (gambar) berkata, mereka yang mengeluarkan kenyataan tanpa kebenaran boleh dikenakan tindakan disiplin oleh parti.

"Berkuat-kuasa serta merta, sesiapa yang mahu membuat kenyataan akhbar dalam tempoh ini, mereka perlu mendapatkan kelulusan daripada pusat operasi, dan tindakan boleh diambil terhadap mereka yang tidak mendapat kelulusan terlebih dahulu," katanya pada sidang media di ibu pejabat SUPP di sini pada Selasa .

Amaran ini dikeluarkan berikutan kenyataan calon Pending Milton Foo terhadap Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem pada hari Ahad, yang mendakwa  dia telah dipilih sebagai calon Barisan Nasional secara sebelah pihak tanpa berunding dengan parti komponen lain.

Selepas dikritik oleh ahli-ahli PBB, Foo pada Isnin berkata, perkara itu telah diselesaikan dan memberitahu Adenan adalah seorang pemimpin yang baik dan terbuka dengan kritikan dan pandangan berbeza.

Chen enggan menyatakan sama ada tindakan akan diambil terhadap Foo kerana perkara itu telah selesai.

Beliau juga berkata mana-mana anggota parti yang mensabotaj calon Barisan lain akan dikenakan tindakan disiplin.

"Sebagai sebuah parti komponen Barisan kita tidak akan 'kacau' bahagian yang SUPP tidak bertanding. Kita akan tumpukan kepada 13 kerusi untuk memastikan kami boleh menang bagi pihak BN," katanya.

Selain itu, beliau menggesa penyokong untuk memberikan peluang "pasukan baru" calon SUPP dalam pilihan raya ini.

"Jika anda tidak memberi mereka peluang, bagaimana anda tahu sama ada mereka boleh berkhidmat atau tidak? Anda boleh menghakimi mereka selepas lima tahun," katanya.

Mengenai manifesto SUPP, Chen berkata ia akan diumumkan tidak lama selepas penamaan calon pada April 25.

Beliau berkata manifesto telahj dan dicetak dalam buku kecil dalam tiga bahasa.

SUPP, PBB, BN, Datuk Matthew Chen

Artikel Lain