suria

JPJ Punya Kepakaran Kesan Kereta Klon - KP

SEREMBAN: Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Ismail Ahmad berkata JPJ mempunyai kepakaran untuk mengesan kereta klon.

Kebanyakan kereta klon yang disita ialah kereta yang dibawa masuk ke negara ini dari negara jiran (Singapura) dan sejak November 2014 hingga Mac 2016, JPJ menyita dan mengambil tindakan terhadap 1,535 buah kereta klon di seluruh negara.

"Ia ditawar dengan harga berbeza mengikut jenis kenderaan daripada sekitar RM12,000 (sebuah) berbanding harga pasaran sebenar sekitar RM100,000. Antara kereta mewah yang menjadi pilihan pembeli ialah Toyota Wish, Honda, Subaru, BMW dan Mercedes Benz," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis sambutan Hari JPJ Ke-70 2016 peringkat Negeri Sembilan di sini, Selasa.

Katanya, sindiket menjual kereta klon biasanya akan menggunakan nombor pendaftaran yang sama dengan kenderaan jenis sama yang sah digunakan di negara ini tetapi menggunakan cukai jalan tidak sah.

"Apabila maklumat dalam sistem JPJ berbeza dengan maklumat yang terdapat pada kenderaan itu, kami akan menyita kenderaan itu di bawah Seksyen 64 (1) dan seterusnya mengeluarkan saman di bawah seksyen 108 (3) (e) dan 108 (3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987," jelas beliau.

Ismail menasihatkan orang ramai agar tidak mudah tertipu dengan penjual kereta klon dan perlu merujuk kepada pihak berkuasa untuk langkah keselamatan.

Sementara itu, beliau berkata Malaysia telah menguatkuasakan sebanyak 100 Peraturan United Nations (UNR) dalam memastikan pengesahan tahap keselamatan kenderaan di negara ini mengikut standard yang ditetapkan dan yang diikuti lebih 50 negara lain.

Ia merangkumi pengujian lampu, tayar, sistem brek, kekukuhan rangka chasis kenderaan dan sebagainya.

Langkah ini bukan sahaja dapat meningkatkan tahap keselamatan kenderaan di negara ini, malah merangsang perkembangan ekonomi negara akibat lebih banyak urusan import dan eksport komponen dan sistem automotif dapat dilaksanakan.-- Bernama



JPJ, klon, Ismail Ahmad

Artikel Lain