suria

BN Sarawak Tubuh Jawatankuasa Khas Tapis Lawatan Menteri Persekutuan

Datuk Stephen Rundi Utom
KUCHING: Barisan Nasional (BN) Sarawak menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk mengkaji kesesuaian menteri persekutuan melawat kawasan tertentu semasa kempen pilihan raya negeri ini.

"Pemimpin (menteri) dari tanah besar amat dialu-alukan (bagi membantu dalam kempen), tetapi ada sesetengah daripada mereka mungkin tidak sesuai bagi kawasan tertentu dan kami ada sebuah jawatankuasa khas yang akan meneliti dan menapis kesesuaian pemimpin seperti itu," kata Setiausaha BN Sarawak Datuk Stephen Rundi Utom kepada pemberita selepas mesyuarat BN Sarawak yang dipengerusikan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem di sini Isnin.

Rundi berkata pihaknya akan memaklumkan secara sopan kepada pemimpin yang dikenal pasti itu bahawa ada kawasan tertentu tidak sesuai dan akan mengubah program mereka.

Beliau menjangka besar kemungkinan pemimpin-pemimpin persekutuan akan hadir pada hari penamaan calon.

Menurut beliau, jentera BN kini berada dalam kedudukan cukup bersedia untuk menghadapi pilihan raya dan semua masalah telah diselesaikan.

Rundi berkata isu mengenai calon BN daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Milton Foo, juga telah selesai dan calon itu berjanji ia tidak akan berulang.

Mengenai isu perasaan tidak puas hati beberapa penyandang yang tidak dicalonkan semula bagi mempertahankan kerusi masing-masing, Rundi berkata mereka berikrar akan memberi sokongan penuh kepada calon BN yang dipilih.

Beliau berkata BN tidak akan menerima mana-mana calon bebas kecuali calon langsung daripada Parti Rakyat Bersatu (UPP) dan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras).

"Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa calon bebas yang menentang BN tidak akan diterima ke dalam mana-mana parti BN selepas pilihan raya, manakala calon langsung BN boleh memilih parti mana yang mereka mahu...lebih baiklah parti lama mereka," katanya.

Artikel Lain