suria

Indonesia Digesa Pulangkan Bot Nelayan Tempatan Yang Ditahan

Ketua Umno Sungai Besar Datuk Jamal Md Yunos bersama sekumpulan nelayan menyerahkan memorandum kepada Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur, Isnin. -fotoTHESTAR
KUALA LUMPUR: Sekumpulan nelayan menyerahkan memorandum kepada Kedutaan Besar Indonesia di sini pada Isnin menuntut republik itu memulangkan semula bot nelayan tempatan yang ditahan dalam kawasan perairan negara dengan segera.

Ketua Umno Sungai Besar Datuk Jamal Md Yunos berkata memorandum berkenaan diserahkan susulan memorandum pertama yang diberikan kepada Wisma Putra pada Mac lepas yang meminta kerajaan campur tangan dalam isu yang sama.

Beliau mendakwa setakat ini tiga bot nelayan dan anak kapal dari kawasan perairan Selangor ditahan penguat kuasa republik itu ketika menangkap ikan di kawasan perairan Malaysia pada Mac lalu.

"Tindakan pihak berkuasa republik itu, menakutkan nelayan lain untuk menangkap ikan bagi mencari pendapatan," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Jamal yang mewakili kumpulan nelayan itu bersama wakil Persatuan Kebajikan Nelayan dan Peniaga-Peniaga Ikan Sekinchan, Selangor menyerahkan memorandum bantahan ke atas penahanan bot nelayan tempatan tersebut kepada seorang wakil kedutaan.

Terdahulu, kumpulan nelayan itu mengadakan bantahan di hadapan kedutaan berkenaan dengan membawa kain rentang antaranya tertera 'jangan tunda bot kami, lepaskan bot kami' dan 'jangan ceroboh perairan Malaysia'.

Artikel Lain