suria

El Nino Dijangka Berakhir Jun Ini - Madius

KUALA LUMPUR: Sebuah Pusat Ramalan Iklim (CPC) menjangkakan Fenomena El Nino, yang menyebabkan Malaysia kini mengalami panas terik dan kemarau, berakhir pada Jun ini, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Beliau berkata CPC Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Nasional (NOAA) yang berpejabat di Amerika Syarikat menjangka fenomena itu tamat apabila bacaan Oceanic Nino Index (ONI) mencatat kurang daripada 0.5 darjah Celsius berbanding 2.0 darjah Celsius ketika ini.

"Impak El Nino terhadap suhu negara dijangka beransur reda apabila kekuatan El Nino semakin menurun selain peningkatan kekerapan hujan semasa musim peralihan monsun mencapai kemuncaknya pada penghujung April atau awal Mei nanti.

"Ini kerana hujan dan ribut petir terutamanya pada sebelah petang dan senja di negeri-negeri pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah dan Sarawak akan lebih kerap berlaku semasa peralihan monsun," katanya dalam kenyataan di sini, Isnin.

Berdasarkan pencerapan terkini CPC itu, nilai ONI pada Jan-Feb-Mac lepas ialah 2.0 darjah Celsius manakala nilai ONI bagi Feb-Mac-April hanya akan diketahui setelah bacaan bagi keseluruhan April diperoleh.

Madius berkata El Nino lemah yang mula terbentuk pada Mac tahun lepas menjadi kuat pada Ogos tahun sama apabila anomali suhu permukaan laut di timur dan tengah kawasan Khatulistiwa Lautan Pasifik yang dikenali sebagai ONI mencatatkan nilai sekurang-kurangnya 1.5 darjah Celsius.

"Kekuatan El Nino mencapai nilai tertinggi pada Disember 2015 apabila nilai ONI mencapai 2.3 darjah Celcius. Nilai ini adalah sama dengan yang pernah berlaku pada kejadian El Nino 1997/1998," katanya.

Semalam, beliau berkata empat kawasan di seluruh negara mencatatkan bilangan hari tanpa hujan melebihi 24 hari setakat 6 April lepas.

Kawasan berkenaan ialah Seberang Perai Tengah di Pulau Pinang yang mengalami bilangan hari tanpa hujan selama 38 hari diikuti Felda Tenggaroh Timur 2 di Mersing, Johor selama 30 hari.

Dua daerah di Sabah iaitu Bahagian Pantai Barat Kota Belud dan dan Langkorn Estate, Kudat masing-masing mengalami 25 dan 24 hari tanpa hujan.

Artikel Lain