suria

Tunku Mahkota Johor Dilantik Pemangku Raja Johor

Tunku Ismail Sultan Ibrahim (kiri) membaca Ikrar Terima sebagai Pemangku Raja Johor. Foto Bernama

JOHOR BARU: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada Jumaat dilantik sebagai Pemangku Raja Johor selama ketiadaan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar di negeri ini bermula Sabtu hingga 3 Mei ini.

Pengisytiharan pelantikan oleh Sultan Ibrahim itu dibacakan Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli dalam majlis istiadat pengisytiharan Pemangku Raja di Istana Bukit Serene di sini. 

Pelantikan atas nasihat dan pesertaan jemaah Majlis Diraja itu dilakukan mengikut Fasal 9 (1) (c) dan (3) Bahagian Pertama Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

Ia membolehkan Tunku Ismail menunaikan tugas-tugas mentadbir negeri berikutan keberangkatan ayahanda baginda ke Vancouver dalam wilayah British Columbia, Kanada untuk lawatan rasmi.

Sultan Johor mendapat undangan untuk melawat British Columbia daripada Leftenan Gabenornya Judith Guichon pada 23 Mac lepas ketika pelancaran Model Menara Bank Rakyat di sini.

Sultan Ibrahim bertitah, baginda yakin dengan kemampuan anakanda baginda menjalankan tugas serta mentadbir negeri, malah turut menyifatkan ia sebagai persediaan kepada Tunku Ismail untuk menjadi seorang raja.

Turut berangkat ke istiadat itu ialah Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar dan Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman.

Ia turut dihadiri barisan Exco kerajaan negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ismail Karim. - Bernama

Tunku Mahkota Johor

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain