suria

PRN-11 Adalah Terakhir Bagi Adenan

Adenan Satem.

LUNDU: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem pada Jumaat mengumumkan bahawa Pilihan Raya Negeri ke-11 (PRN-11) pada 7 Mei depan adalah pilihan raya terakhir untuk dirinya.

Bagaimanapun, di hadapan hampir 1,000 penduduk Lundu, di sini, beliau memberi jaminan akan menyediakan lebih banyak kemudahan untuk rakyat Bumi Kenyalang.

"Saya dah tua, umur dah 72 tahun, pilihan raya kemudian umur saya dah 77 tahun. Saya rasa cukup, tapi sebelum saya meninggal jadi Yang Berhormat (YB), saya ingin meninggalkan macam-macam kemudahan untuk kawasan kita," katanya.

Beliau berkata demikian sebelum melancarkan projek tebingan Sungai Batang Kayan dan majlis pecah tanah projek perlindungan tebing Sungai Kampung Semunin Jaya, Lundu dekat sinim pada Jumaat.

Hadir sama, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Adenan, yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri(DUN) Tanjung Datu berkata, PRN kali ini adalah yang ke-11 beliau bertanding dalam pilihan raya.

"Kalau saya menang ini adalah kali ke-11, sebelum ini saya menang tujuh kali di DUN Samarahan, sekali menang Parlimen Batang Sadong dan dua kali menang DUN Tanjung Datu, dan ini kali ketiga saya akan bertanding di Tanjung Datu.

"Bagilah lima tahun lagi, macam-macam lagi pembangunan boleh dilaksanakan di sini," katanya.

Adenan menarik perhatian bahawa hubungan baik beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang turut dilihat dapat menyumbang ke arah pembangunan lebih lancar untuk Sarawak.

"Perdana Menteri telah datang ke Sarawak 49 kali, lebih banyak dari lawatan keseluruhan lima perdana menteri sebelum ini. Beliau datang juga bukan hanya membawa senyuman," tambahnya. - Bernama

Adenan Satem

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain