suria

Mohamed Khaled Hanya Fokus Tugas MB

Mohamed Khaled Nordin.

JOHOR BARU: Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Sabtu menegaskan akan terus menumpukan tugas sebagai Menteri Besar Johor, tanpa mahu mengambil tahu sama ada benar wujud gerakan menyingkirkannya.

Mohamed Khaled berkata beliau menyerahkan kepada orang ramai untuk bercakap mengenai dakwaan itu dan enggan mengulas lanjut mengenainya.

"Saya tidak boleh jawab apa-apa sebab yang pertamanya, orang yang cakap itu (mengenai gerakan) saya tidak tahu betul atau tidak betul, yang kedua, kalau ada orang yang merancang, kena tanya dia, saya tidak boleh jawab itu semua.

"Apa yang saya tahu, saya fokus kepada kerja saya. Selepas itu, yang lain ada bagi sokongan (kepada saya)," katanya selepas merasmikan persidangan antarabangsa The Belt and Road Initiative: The China - ASEAN Relation, yang turut dihadiri Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, di sini Sabtu.

Mohamed Khaled yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Permas berkata demikian sebagai mengulas dakwaan terdapat gerakan untuk menukar beliau sebagai Menteri Besar yang diketuai seorang individu.

Sementara itu, Liow yang juga Presiden MCA berkata parti itu sentiasa memberikan sokongan padu kepada Mohamed Khaled atas kewibawaannya menerajui Johor.

Liow berkata kepimpinan Mohamed Khaled juga terbukti menerusi pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan di negeri ini.

"Beliau (Mohamed Khaled) menunjukkan kepimpinannya dan saya berpandangan beliau amat disayangi rakyat Johor," katanya.  - BERNAMA

Mohamed Khaled Nordin, MB Johor

Artikel Lain