suria

Dasar Industri Kreatif Negara Wujud 7,799 Peluang Pekerjaan

SINTOK: Sebanyak 7,799 peluang pekerjaan dan RM674.8 juta hasil pelaburan diperoleh melalui program yang dilaksanakan di bawah Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) sejak 2010 sehingga tahun lepas.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad berkata ia meliputi seni persembahan dan muzik, filem dan drama, reka bentuk dan animasi serta pengiklanan dan pembangunan kandungan yang berkualiti.

"Kerajaan memperuntukkan RM200 juta melalui Rancangan Malaysia ke-10 bagi membiayai aktiviti berkaitan dengan industri kreatif seperti pengeluaran filem dan drama, muzik serta animasi.

"Dengan sejumlah peruntukan yang disalurkan kerajaan melalui KKMM sejak 2012, membuktikan kesungguhan dan komitmen dalam memperhebat dan merakyatkan industri kreatif," katanya ketika merasmikan 'Creative Industry Talent Empowerment' (Cite) Zone anjuran KKMM dan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini, Sabtu.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Datuk Kamil Othman. 

Cite Zone diadakan seiring dengan agenda DIKN untuk membawa profesional, ahli akademik, pengamal dan pelajar dari seluruh negara untuk bersama-sama memupuk potensi peserta dalam industri kreatif.

Program selama empat hari bermula hari ini di UUM itu, bakal diisi dengan ucaptama kreatif, forum, seminar dan bengkel yang membolehkan kesemua peserta berkongsi maklumat, idea, pengalaman dan kepakaran dalam bidang industri kreatif.

Sharifah Zarah berkata kementerian turut melihat usaha merakyatkan industri kreatif perlu diperhebatkan bukan sahaja di peringkat tempatan malah di luar negara.

"Sudah sampai masanya bakat dan produk kita dibawa ke luar negara. Hari ini terbukti dengan program Cite Zone ini akan membuka mata negara lain terhadap kemampuan anak-anak muda kita dalam bidang kreatif," katanya. -- Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain