suria

Rafizi Cabar Khalid Tanding Di Kerusi Pandan

Rafizi Ramli.

PETALING JAYA: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli mencabar Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk bertanding di kerusi Parlimen Pandan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

"Jika IGP (KPN) mahu main politik mari bertanding di Pandan," tulis Rafizi di laman Twitternya pada Sabtu.

Ahli Parlimen Pandan itu menjawab kenyataan Khalid bahawa polis tidak pernah mengarahkan beliau untuk meletak tangan di belakang.

"Arahan untuk letak tangan di belakang adalah budi bicara pegawai dibuat di hadapan peguam saya. Kenyataan @KBAB51 memfitnah dan saya rujuk peguam," tulisnya.

Khalid pada Jumaat menafikan dakwaan bahawa pengawainya mengarahkan Rafizi meletak tangan di belakang ketika ditahan.

"Tiada arahan seperti itu. Dia hanya buat cerita dongeng untuk mengelirukan orang ramai," katanya.

"Pegawai saya mengarahkannya meletak tangan di belakang sebagai sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP).

"Ketika diring, Rafizi boleh meletakkan tangan di mana-mana ketika berjalan," katanya.

Khalid menerusi tulisannya di Twitter pada Khamis berkata Rafizi tidak pernah digari sejak beliau ditahan Selasa lalu.

Rafizi ditahan di depan pintu Parlimen pada 6:20 petang Selasa untuk siasatan di bawah OSA berhubung dakwaan beliau terhadap Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Beliau didakwa di dua mahkamah berasingan pada Jumaat terhadap dua pertuduhan memiliki dan mendedahkan dokumen rasmi berhubung laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan menyiarkan tohmahan terhadap Lembaga Tabung Haji.

Gambar Rafizi kononnya digari oleh polis yang mengiringinya dari kenderaan ke kamar mahkamah menjadi viral minggu ini.

Namun perkara itu dinafikan Khalid.


Rafizi Ramli, Khalid Abu Bakar, gari

Artikel Lain